Khamis, 6 Jun 2019 | 2:21pm
Semua pihak harus gigih berusaha mencapai tahap ‘sifar lemas’ melalui pencegahan. - Foto NSTP
Semua pihak harus gigih berusaha mencapai tahap ‘sifar lemas’ melalui pencegahan. - Foto NSTP

Semua pihak harus gigih berusaha capai 'sifar lemas'

KUALA LUMPUR: Semua pihak harus gigih berusaha mencapai tahap ‘sifar lemas’ melalui pencegahan, manakala kanak-kanak dan pelajar sekolah diajar mengenai bahaya insiden itu dan cara mengelakkan diri daripada menjadi mangsa.

Ahli Majlis Keselamatan Aktiviti Air (MKAA), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata insiden lemas sebenarnya boleh dicegah dengan syarat semua pihak berkaitan, temasuk orang awam, memainkan peranan secara berkesan.

Beliau berkata, agensi selain Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) perlu membantu dengan melakukan rondaan atau menempatkan kakitangan mereka di kawasan berisiko tinggi berlaku lemas.

“Mereka juga perlu memberikan nasihat dan meletakkan tanda amaran, terutama di kawasan perkelahan yang sering berlaku kes lemas.

“Pihak berkuasa tempatan pula perlu meletakkan tanda amaran di lokasi strategik untuk mengingatkan orang ramai mengenai bahaya lemas, manakala papan tanda yang rosak atau menjadi mangsa vandalisme perlu diganti dengan segera,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, pihak pengurusan hotel dan taman tema juga perlu meningkatkan aspek keselamatan bagi mengelakkan berlakunya kes lemas.

“Ibu bapa pula perlu mengawasi anak masing-masing kerana dalam beberapa kes, mereka tidak menyedari anak sedang bermain berhampiran sungai, kolam atau kolam renang.

“Dalam beberapa kejadian tragis lain, kanak-kanak terbabit lemas ketika ibu bapa mereka sibuk mendaftar di kaunter penyambut tetamu hotel,” katanya.

JBPM sebelum ini dilaporkan mengenal pasti 19 ‘hotspot’ atau lokasi panas dikategorikan sebagai kawasan berisiko tinggi berlaku kes lemas sepanjang cuti perayaan Aidilfitri ini.

Lokasi itu ditentu berdasarkan data kejadian lemas yang melebihi lima mangsa antara 2016 hingga 2018 membabitkan sungai, air terjun, pantai dan tasik.

Antara lokasi berisiko tinggi itu ialah pantai-pantai di Port Dickson, Negeri Sembilan; Pantai Puteri, Melaka; Air Terjun Sekayu, Terengganu; dan Sungai Pertak di Selangor.

Lam Thye berkata, MKAA juga sudah mengenal pasti 15 kawasan berisiko tinggi dan 39 kawasan berisiko berlaku kes lemas di seluruh negara.

“Kita mendapati kebanyakan insiden lemas berlaku di sungai dan terusan, diikuti pantai, kolam, tasik dan lombong, air terjun serta kolam kumbahan.

“Berdasarkan kes terdahulu, insiden lemas sering membabitkan pelajar dan remaja, terutama pada musim cuti persekolahan,” katanya.

Beliau berkata, kajian Pusat Penyelidikan Klinikal Perak menunjukkan kira-kira 500 kanak-kanak lemas setiap tahun, dan ia adalah punca kematian kedua tertinggi dalam kalangan kanak-kanak berusia antara satu hingga 18 tahun di Malaysia.

“Kajian itu turut mendapati dalam tempoh sembilan bulan pertama 2017, seramai 31 kanak-kanak berusia antara dua hingga sembilan tahun lemas di kolam hotel dan taman tema di Malaysia dengan 75 peratus daripada mereka berusia bawah lima tahun.

“Rekod JBPM pula menunjukkan 83 kes lemas dilaporkan berlaku dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini,” katanya.

Berita Harian X