Rabu, 5 Jun 2019 | 5:06pm
Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, mencemar duli berangkat ke majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Menteri Besar Pahang di Kuantan, hari ini. - NSTP/Farizul Hafiz Awang

Aidilfitri tetap meriah walaupun dalam tempoh berkabung

KUANTAN: Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah, mencemar duli berangkat ke majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Menteri Besar Pahang di sini, hari ini.

Keberangkatan baginda berdua yang tiba memakai busana rona putih kira-kira jam 4.05 petang di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini, disambut Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan isteri, Datin Seri Burhah Mohammed.

Turut sama berangkat ke majlis itu ialah anakanda baginda, Tengku Amir Nasser, Tengku Puteri Iman Afzan, Tengku Ilisha Ameera, Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah serta adinda Sultan Abdullah, Tengku Arif Temenggong Pahang, Tengku Abdul Fahd Mu’adzam Shah Almarhum Sultan Ahmad Shah.

Walaupun masih dalam tempoh berkabung selama 40 hari berikutan kemangkatan Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah, sambutan tetap meriah dalam suasana harmoni dengan kehadiran rakyat jelata daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Sultan Abdullah dan Tunku Azizah Aminah Maimunah turut berkenan bersalaman dengan orang ramai yang berbaris menyambut ketibaan baginda.

Turut sama memeriahkan majlis itu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta beberapa barisan exco kerajaan negeri.

Majlis yang bermula sekitar jam 11 pagi itu menerima kehadiran kira-kira 7,000 orang yang datang dari sekitar Kuantan.

Antara juadah wajib yang dihidangkan kepada tetamu termasuk rendang, lemang, laksa Pahang dan nasi minyak.

Meskipun suasana majlis tidak dialunkan dengan sebarang bunyi-bunyian dan muzik bagi menghormati tempoh berkabung, namun, kemeriahannya tetap dirasai orang ramai.

Berita Harian X