Sabtu, 1 Jun 2019 | 10:03pm
YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mengesat air mata ketika berucap merasmikan Masjid Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah di Temerloh, hari ini. - Foto BERNAMA

Nama saya tidak sehebat Almarhum Paduka Ayahanda - Agong

TEMERLOH: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, hari ini sebak mengimbau kenangan bersama Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Al-Sultan Abdullah juga beberapa kali menghentikan seketika titah ucapan kerana kehilangan kata-kata, selain dilihat mengesat air mata, dalam titah ucapan baginda berkisar kepada jasa dan pengorbanan Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah sepanjang tempoh 45 tahun memerintah Pahang.

Al-Sultan Abdullah bertitah, Almarhum begitu hebat dalam pelbagai bidang, termasuk agama, pendidikan, kebajikan, ketenteraan dan sukan, yang menjadi faktor baginda ‘menolak’ nama baginda dimasyhurkan pada masjid baharu dirasmikan, di sini, hari ini.

“Kerajaan negeri berhasrat memasyhurkan masjid ini dengan nama saya kerana mahu memberi penghormatan kepada saya sebagai Sultan baharu. Namun, saya berpandangan nama saya tidak sehebat atau segah nama Almarhum Paduka Ayahanda saya.

“Saya memasyhurkan masjid ini dengan nama Masjid Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dan diharapkan rumah Allah ini akan menjadi kenangan abadi untuk memperingati pemerintahan dan jasa Almarhum,” titah baginda ketika berucap merasmikan masjid itu, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Almarhum Sultan Ahmad Shah; Timbalan Menteri Kerja Raya, Mohd Anuar Tahir yang juga Ahli Parlimen Temerloh; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak; Mufti Pahang, Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman; dan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Pahang.

Al-Sultan Abdullah bertitah, pembinaan masjid menelan belanja sebanyak RM18.7 juta yang boleh memuatkan 3,000 jemaah pada satu-satu masa itu juga adalah atas titah Almarhum sekitar akhir 2013, selepas Temerloh diisytiharkan sebagai titik tengah Semenanjung Malaysia.

“Sejak kerja dimulakan pada 19 Ogos 2014, Almarhum memberi sepenuh perhatian dan secara langsung memantau serta mengawal kerja pembinaannya seperti kelaziman semua masjid di Pahang yang mendapat sentuhan peribadi baginda dari segi hiasan dalaman dan reka bentuk.

“Namun, manusia hanya mampu merancang. Almarhum tidak sempat merasmikan masjid ini kerana terlebih dahulu meninggalkan kita. Tahun lalu, saya sudah berbincang mengenai hasrat saya supaya masjid ini dirasmikan oleh Almarhum secara persidangan video dari istana di Kuala Lumpur,” titah baginda.

Sehubungan itu, Al-Sultan Abdullah menyifatkan keberangkatan tiba baginda di masjid itu begitu istimewa dan membawa pengertian sangat besar kepada baginda dan keluarga, serta berharap sebuah galeri berkaitan usaha dan jasa Almarhum dapat diwujudkan di situ.

Dalam titah baginda, Al-Sultan Abdullah juga berkongsi cerita bahawa Almarhum adalah Raja berjiwa rakyat kerana sentiasa mencari rakyat yang sakit dan antara paling pantas melawat, malah ada masanya lebih awal berbanding pegawai kerajaan atau wakil rakyat, jika mengetahui ada rakyat ditimpa musibah.

“Almarhum meletakkan penanda aras untuk kita semua supaya proaktif dalam perkara berkaitan keselesaan dan kesejahteraan rakyat. Baginda sentiasa sampai lebih awal dari masa ditetapkan, malah kadangkala lebih awal daripada keberangkatan tiba Tengku Mahkota Pahang (gelaran Al-Sultan Abdullah sebelum ini).

“Ini menyebabkan saya berada dalam kedudukan yang cukup bersalah sehingga saya terpaksa menyembah mengatakan kepada Almarhum bahawa baginda selalu tiba lebih awal menyebabkan kita yang dipersalahkan kerana lewat,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah bertitah, jasa Almarhum yang mangkat di Institut Jantung Negara pada usia 88 tahun, 22 Mei lalu, bukan sekadar sebagai Sultan Pahang kelima tetapi juga menabur bakti sebagai Yang di-Pertuan Agong ketujuh.

Titah baginda, sebagai seorang ketua agama, Almarhum menitahkan supaya lebih banyak masjid dibina yang mana setakat ini, ada 15 masjid di Pahang yang dinamakan sempena nama Almarhum, menghadiri pelbagai program keagamaan dan menaik taraf kedudukan mufti.

Suasana juga menjadi sepi apabila Al-Sultan Abdullah selaku anakanda lelaki sulung Almarhum, mewakili seluruh kaum kerabat baginda menzahirkan ucapan terima kasih kepada warga istana, doktor pakar, jururawat, kakitangan hospital, polis, tentera dan semua pihak yang berkhidmat sepanjang hayat Almarhum.

“Jika ada kesilapan dalam pertuturan yang mungkin terasa di hati, saya berharap dapat dimaafkan dan doakan supaya Almarhum diberikan segala rahmat Allah serta ditempatkan bersama golongan solihin,” titah baginda. – BERNAMA

Berita Harian X