Jumaat, 31 Mei 2019 | 5:35pm
MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. - Foto BERNAMA
MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail. - Foto BERNAMA

Tiada aduan kenaikan harga barang kawalan - Saifuddin

KULIM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPNHEP) tidak menerima sebarang aduan kenaikan harga barang kawalan sempena musim perayaan Aidilfitri.

Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata pihaknya sudah melakukan pemeriksaan di 18,000 premis dan mendapati semuanya tidak menaikkan harga melepasi harga siling yang ditetapkan.

“Kita dapati sebanyak 27 barang kawalan ini tidak berlaku kenaikan dan pada masa yang sama tiada aduan yang dibuat mengenainya.

“Aduan yang kita terima serta yang diperiksa membabitkan tidak mempamerkan tanda harga. Jumlahnya hanya 52 premis daripada 18,000 di seluruh negara,” katanya selepas Program Sumbangan Amal Raya Tesco - KPNDHEP, di Tesco Kulim, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, beliau berpuas hati dengan harga barang kawalan di beberapa pasar raya yang dijual lebih murah dari harga siling.

“Sebagai contoh harga bawang besar yang dijual di Tesco hanya 99 sen sedangkan harga silingnya RM3 sekilogram,” katanya.

Terdahulu, pada program berkenaan Saifuddin menyampaikan sumbangan bekalan makanan kepada 100 isi rumah.

Malah, 100 kanak-kanak dalam kalangan keluarga miskin di Parlimen Kulim Bandar Baharu turut dirai dengan pemberian baucar pakaian raya bernilai RM150 untuk digunakan di Tesco.

Berita Harian X