Isnin, 27 Mei 2019 | 9:57pm
Mohamad Sabu bergambar bersama anggota TLDM di atas KD Pahang di perairan Laut China Selatan berdekatan Kuantan. - NSTP/Muhd Asyraf Sawal

ATM perketat kawalan di perairan negara sepanjang Aidilfitri

KUANTAN: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan memperketatkan kawalan di perairan negara sepanjang sambutan Aidilfitri bagi mengelak pencerobohan, kata Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu.

Beliau berkata, ATM melalui Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan maritim lain bagi mempertahankan kedaulatan perairan negara daripada diceroboh terutama bagi mengekang kemasukan pendatang asing tanpa izin (PATI).

“Sepanjang musim perayaan ini, ramai warga asing akan pulang ke negara masing-masing. Jadi, jika mereka keluar melalui jalan sah, kemasukan mereka juga perlu dengan cara yang sah.

“Setiap hari ada tangkapan di perairan negara, malah mesyuarat khas Kabinet pada hari cuti baru-baru ini pun ada membincangkan (isu imigran). Seperti agensi penguat kuasa lain, kita juga akan memperketatkan kawalan di perairan negara bagi mengekang kemasukan PATI,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan dan berbuka puasa bersama kira-kira 102 anggota TLDM yang bertugas di kapal KD Pahang di perairan Kuantan, di sini, hari ini.


Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berbuka puasa bersama anggota TLDM di atas KD Pahang di perairan Laut China Selatan berdekatan Kuantan. - NSTP/Muhd Asyraf Sawal

Mohamad Sabu meninjau keadaan sekeliling di atas KD Pahang. - NSTP/Muhd Asyraf Sawal

Mohamad Sabu meninjau keadaan sekeliling sebelum berbuka puasa bersama anggota TLDM di atas KD Pahang di perairan Laut China Selatan berdekatan Kuantan. - NSTP/Muhd Asyraf Sawal

Pada majlis itu, Mohamad turut menyerahkan bungkusan hari raya kepada anggota TLDM yang bertugas pada Aidilfitri menerusi evolusi pemindahan tali balingan (kapal ke kapal) kepada KD Pendekar dan KD Perdana.

Menyentuh mengenai aset ketenteraan, Mohamad mengakui masih banyak berkurangan dan perlu dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

“Jika ada peruntukan untuk (perolehan) aset baharu, kita akan memperkemaskannya dari semasa ke semasa.

“Kita sebuah negara maritim hingga ke perairan Sabah dan Sarawak, jadi tugas pasukan sangat luas dan menjadi keperluan (penambahan aset),” katanya.


Mohamad Sabu berbuka puasa bersama anggota TLDM di atas KD Pahang di perairan Laut China Selatan berdekatan Kuantan. - NSTP/Muhd Asyraf Sawal

Berita Harian X