Ahad, 26 Mei 2019 | 6:27pm
MOHD Azizi Abas yang lumpuh ditemani Fatimah Sulaman menerima kunjungan ADUN Nenggiri, Ab Aziz Yusof (kiri) di RKT KESEDAR Jeram Tekoh, dekat Gua Musang. - NSTP/Ramli Ibrahim
MOHD Azizi Abas yang lumpuh ditemani Fatimah Sulaman menerima kunjungan ADUN Nenggiri, Ab Aziz Yusof (kiri) di RKT KESEDAR Jeram Tekoh, dekat Gua Musang. - NSTP/Ramli Ibrahim

Lupakan Aidilfitri demi kasih pada anak lumpuh

GUA MUSANG: Dalam kesibukan jiran lain membuat persiapan menyambut Syawal, seorang wanita warga emas ini tetap setia menjaga anak lelaki sulungnya yang lumpuh.

Fatimah Sulaiman, 71, yang tinggal di Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) KESEDAR Jeram Tekoh, di sini, berkata dia tidak sanggup menyambut Aidilfitri dalam keadaan anaknya, Mohd Azizi Abas, 39, terlantar akibat lumpuh selepas terbabit kemalangan tujuh tahun lalu.

“Sejak peristiwa kemalangan itu, saya sudah tujuh tahun melupakan segala persiapan raya kerana perkara lebih penting ialah menjaga keperluan anak sulung yang lumpuh.

“Jika tidak saya menjaganya, siapa lagi yang sanggup berbuat demikian kerana empat lagi anak bekerja di luar Kelantan,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.

Malah, Fatimah turut menyatakan kebimbangannya terhadap nasib anaknya itu jika umurnya tidak panjang.

“Siapalah yang akan menjaganya bila saya sudah tiada. Dia (Mohd Azizi) memang ada isteri dan dua anak tetapi mereka tidak pernah menjenguknya sejak insiden kemalangan itu di Triang, Pahang pada 2012.

“Empat lagi anak saya pun jarang pulang ke kampung. Jika balik pun, hanya pada musim perayaan setahun sekali. Jadi, hanya saya dan dia sepanjang masa,” katanya.

Katanya, anak lelakinya itu menerima bantuan dari Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM350 sebulan, namun hanya cukup belanja beli lampin pakai buang.

Terdahulu, Fatimah dan Mohd Azizi menerima kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Ab Aziz Yusof yang turut menghulur sumbangan.

Media sebelum ini melaporkan kegigihan seorang warga emas yang terpaksa menjaga anaknya yang lumpuh selepas terbabit kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan pulang dari tempat kerjanya.

Mohd Azizi menerima rawatan di sebuah hospital di Ipoh, dan doktor yang merawatnya mengesahkan harapan untuk sembuh tipis.

Berita Harian X