Ahad, 26 Mei 2019 | 4:03pm
Ibu bapa kepada bayi Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak (depan, kiri) dan isteri Nurul Erwani Zaidi diiringi sebahagian anggota keluarga yang mengiringi perjalanan mereka ke London, semalam bagi menjalani pembedahan ketumbuhan Germ Cell Tumor di bahagian mulut ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA). - Foto BERNAMA

Ainul Mardhiah dalam keadaan baik di London

MELAKA: Perjalanan bayi perempuan menghidap kanser mulut Germ Cell Tumor, Ainul Mardhiah ke luar negara berjaya diharungi tanpa sebarang masalah sejurus berlepas ke London, Jumaat lalu.

Bapanya, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24, yang memuat naik status di Facebook sehari selepas tiba di London semalam, berkata anaknya berjaya melepasi risiko menaiki penerbangan tanpa sebarang masalah.

Beliau berkata ia juga kerana dibantu doktor tempatan yang juga individu sukarela mengikuti misi itu, berhempas pulas memastikan bayi perempuan sembilan bulan itu sentiasa cergas ketika dalam perjalanan.

Bagaimanapun, katanya, ketika tiba di London, bekalan oksigen Ainul Mardhiah agak terganggu namun pihak hospital kanak-kanak berjaya menstabilkannya semula.

“Mungkin sebab Ainul mengembara jauh, jadi dia perlu belajar sesuaikan diri di sini,” katanya menerusi status itu.

Ahmad Safiuddin berkata, dia akan melaporkan perkembangan bayinya menjalani pembedahan dan rawatan sepanjang berada di sana melalui laman sosial itu.

Berita Harian X