Sabtu, 25 Mei 2019 | 2:32pm
SEORANG tukang jahit terpaksa menggunakan tangga ketika mengambil ukuran baju individu tertinggi di Malaysia, Mohd Azli Hisyam Abdul Ghafar, ketika ditemui di majlis penyampaian sumbangan kepada keluarga asnaf dan anak yatim di kediaman Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Asnaf (PEKA) Gua Musang, Mohd Syahbuddin Hashim di Bandar Utama, Gua Musang. - Foto ihsan pembaca
SEORANG tukang jahit terpaksa menggunakan tangga ketika mengambil ukuran baju individu tertinggi di Malaysia, Mohd Azli Hisyam Abdul Ghafar, ketika ditemui di majlis penyampaian sumbangan kepada keluarga asnaf dan anak yatim di kediaman Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Asnaf (PEKA) Gua Musang, Mohd Syahbuddin Hashim di Bandar Utama, Gua Musang. - Foto ihsan pembaca

Terpaksa guna tangga ambil ukuran baju

GUA MUSANG: Seorang tukang jahit terpaksa menggunakan tangga untuk mengambil ukuran baju individu tertinggi di Malaysia, Mohd Azli Hisyam Abdul Ghafar, 25, di sini, hari ini.

Lelaki yang mempunyai ketinggian 2.2 meter dan berasal dari Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan KESEDAR Paloh 3 itu, antara 200 keluarga asnaf dan anak yatim yang dijemput hadir ke kediaman Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Asnaf (PEKA) Gua Musang, Mohd Syahbuddin Hashim di Bandar Utama, di sini, untuk tempahan baju raya.

Mohd Azli Hisyam berkata, dia mengakui bukan setakat baju Melayu, sebaliknya pakaian biasa pun sukar diperoleh di kedai berikutan ketinggian yang dimiliki.

“Setiap tahun, saya terpaksa menjahit pakaian kerana tiada saiz ketinggian saya dijual di kedai dan situasi ini bukan perkara baharu buat saya.

“Malah, dengan ketinggian yang dimiliki juga menyebabkan kos jahitan mahal dan membebankan saya. Syukur alhamdulillah Aidilfitri tahun ini, PEKA prihatin dengan menyumbangkan baju raya percuma kepada saya.

“Mungkin orang luar agak terkejut melihat tukang jahit terpaksa menggunakan tangga untuk mengambil ukuran badan, namun setiap kali menjahit baju, situasi itu memang berlaku,” katanya.

Sementara itu, Mohd Syahbuddin berkata, semua mereka yang tersenarai menerima bantuan baju raya itu mengukur saiz masing-masing sebelum pengagihan dilakukan pada 1 Jun ini.

“Hanya Mohd Azli Hisyam yang mempunyai ketinggian luar biasa dan tukang jahit terpaksa membuat ukuran saiz menggunakan tangga.

“Kita akui memang saiz pakaian untuk Mohd Azli Hisyam sukar diperoleh di pasaran dan terpaksa kita buat tempahan khas,” katanya.

Berita Harian X