Jumaat, 24 Mei 2019 | 6:13pm

BHB menyantuni masyarakat di Kuala Sungai Baru

ALOR GAJAH: Program Semarak Ramadan BH 2019 bersama BIMB Holdings Berhad (BHB) meneruskan acara menyantuni masyarakat di Masjid Al Hassaniah, Kuala Sungai Baru, di sini, hari ini.

Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan BHB, Wan Nor Khairi Wan Samad, berkata ini adalah program kedua BHB untuk Ramadan tahun ini dengan yang pertama membabitkan warga Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di Shah Alam, Selangor.

“Ini adalah tahun kesembilan BHB bekerjasama dengan BH bagi menyantuni penduduk setempat, khususnya dalam bulan Ramadan.

“Lokasi kedua ini dipilih adalah untuk mendekatkan warga BHB dan warga media dengan penduduk sekitar Kuala Sungai Baru, di sini,” katanya kepada BH.

Sementara itu, Naib Pengerusi Masjid Al Hassaniah merangkap Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kuala Sungai Baru, Abu Kasim Sampul, berkata program kemasyarakatan yang diadakan itu adalah julung kali diadakan di masjid berkenaan.

“Penduduk di Kuala Sungai Baru berasa cukup terharu apabila BHB bersama BH sudi menyantuni masyarakat kampung dengan pelbagai pengisian program sepanjang hari.

“Antara acara yang disusun adalah penyembelihan kerbau, memasak bubur lambuk serta juadah berbuka puasa.

“Kita juga menyediakan kelas solat dan bimbingan subjek Matematik kepada anak-anak di kawasan sekitar,” katanya.

Sementara itu, Pengarang Komersial dan Ehwal Semasa BH, Salina Abdullah, berkata program di Melaka ini adalah program terakhir Semarak Ramadan BH 2019, yang dijayakan bersama rakan strategik.

“Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua rakan strategik yang bersama-sama menjayakan program tahun ini.

“Kami berharap program menyantuni penduduk di seluruh negara ini akan dapat diteruskan tahun depan dan tahun-tahun seterusnya,” katanya.

Selain Shah Alam dan Kuala Sungai Baru, Program Semarak Ramadan BH juga dijalankan di Kodiang, Kedah serta Bandar Dato’ Onn dan Larkin Sentral di Johor Bahru, selain Taman Cendana di Pasir Gudang, Johor.

Berita Harian X