Khamis, 23 Mei 2019 | 9:51pm
PRESIDEN dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Datuk Mohamed Hazlan Mohamed Hussain. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali
PRESIDEN dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Datuk Mohamed Hazlan Mohamed Hussain. - Foto Mohamad Shahril Badri Saali

My100, My50 lonjak 14 peratus pengguna rel, bas Prasarana

KUALA LUMPUR: Pengguna perkhidmatan pengangkutan awam kendalian Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) meningkat sehingga 14 peratus sejak pas Perjalanan Tanpa Had My100 dan My50 dilancarkan pada Januari lalu.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Datuk Mohamed Hazlan Mohamed Hussain, berkata pas bulanan itu berjaya menggalakkan lebih ramai pengguna sekitar Lembah Klang menggunakan Transit Aliran Massa (MRT), Transit Aliran Ringan (LRT), monorel dan bas.

Katanya, lebih 120,000 pengguna sudah mendaftar sebagai pengguna pas bulanan My100 dan My50, dengan Prasarana kini mengendalikan lebih 1.2 juta pengguna setiap hari bagi semua pengangkutan awam dikendalikan syarikat itu.

“Jumlah pengguna untuk perkhidmatan pengangkutan awam kendalian Prasarana meningkat sebanyak 14 peratus setelah kita perkenalkan My100 dan My50 pada Januari lalu.

“Perkhidmatan paling ketara yang mengalami peningkatan pengguna adalah untuk MRT yang menyaksikan lonjakan jumlah pengguna sehingga 31 peratus.

“Berdasarkan maklumat itu, kita rasakan pas bulanan ini popular dalam kalangan pengguna MRT,” katanya kepada pemberita selepas majlis Pelancaran Video ‘Songkok’ di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai peningkatan pengguna perkhidmatan pengangkutan awam kendalian Prasarana selepas kerajaan melancarkan pas bulanan My100 dan My50 awal tahun ini.

Pada Mac lalu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, dilaporkan berkata pas Perjalanan Tanpa Had My100 yang dijual sejak Januari lalu, mendapat sambutan menggalakkan apabila merekodkan lebih 100,000 pengguna.

Prasarana meletakkan sasaran untuk mencapai 200,000 pengguna bagi kedua-dua pas berkenaan.

Terdahulu, Prasarana melancarkan video khas sempena sambutan Aidilfitri bertajuk Songkok, yang mengetengahkan kehidupan golongan autisme serta cabaran yang dihadapi penjaga mereka.

Video itu memaparkan kisah remaja autisme bernama Yusof yang obses dengan songkok selepas kehilangan ibu bapa dalam satu kemalangan jalan raya, yang mencetuskan cabaran kepada kakaknya yang menjaganya.

Watak Yusof dilakonkan oleh Izzy Zulkhazreef Zulkefli, manakala selebriti terkenal, Risteena Munim melakonkan watak kakaknya.

Mohamed Hazlan, Prasarana memilih untuk mengetengahkan golongan istimewa itu, yang juga sebahagian daripada pengguna mereka, untuk membuka mata masyarakat khususnya ketika berinteraksi dengan mereka.

“Kami tidak mahu golongan seperti autisme dianggap aneh oleh masyarakat. Apabila faham tingkah laku dan kerap mendampingi mereka, kita tidak akan janggal bila bertemu golongan istimewa ini,” katanya.

Video Songkok berdurasi lebih lima minit itu akan disiarkan kepada orang ramai bermula esok menerusi rangkaian media sosial Prasarana.

Berita Harian X