Khamis, 23 Mei 2019 | 6:32pm
Pelatih Pusat Waqaf Komuniti WANCorp menyediakan khidmat gunting rambut percuma sempena program Semarak Ramadan BH dan Jalinan Ukhuwah JCorp. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin
Pelatih Pusat Waqaf Komuniti WANCorp menyediakan khidmat gunting rambut percuma sempena program Semarak Ramadan BH dan Jalinan Ukhuwah JCorp. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin
Program Gunting Rambut Amal memanfaatkan lebih 20 anak kariah Masjid An-Nur Taman Cendana yang mendapatkan perkhidmatan gunting rambut percuma. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin
Program Gunting Rambut Amal memanfaatkan lebih 20 anak kariah Masjid An-Nur Taman Cendana yang mendapatkan perkhidmatan gunting rambut percuma. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin
Pusat Waqaf Komuniti pengkhususan guntingan rambut itu baru ditubuhkan pada Mac lalu. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin
Pusat Waqaf Komuniti pengkhususan guntingan rambut itu baru ditubuhkan pada Mac lalu. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin

Pelatih Pusat Waqaf Komuniti WANCorp tabur bakti di Pasir Gudang

PASIR GUDANG: Pusat Waqaf Komuniti bawah Waqaf An-Nur Corporation Berhad (WANCorp) hari ini, turut sama memeriahkan hari terakhir Program Semarak Ramadan BH dan Jalinan Ukhuwah Johor Corporation (JCorp) di Masjid An-Nur Taman Cendana, di sini.

Menariknya, pengisian yang dilakukan adalah dengan membuka ruang khas yang diusahakan enam pelatih Pusat Waqaf Komuniti WANCorp bagi menyediakan khidmat gunting rambut percuma.

Program yang berlangsung sejak jam 3 hingga 5 petang itu memanfaatkan lebih 20 anak kariah Masjid An-Nur Taman Cendana yang mendapatkan perkhidmatan gunting rambut percuma.

Pengurus Besar WANCorp, Mohd Bahrin Bakri, berkata Pusat Waqaf Komuniti pengkhususan guntingan rambut itu baru ditubuhkan pada Mac lalu.

“Pusat Waqaf Komuniti-Gunting Rambut ini baru ditubuhkan Mac lalu membabitkan seramai 18 pelatih dan walaupun baru ditubuhkan, sudah menghasilkan usahawan berjaya.

“Seramai dua pelatih sudah menubuhkan perniagaan mereka sendiri selain kita turut memberi ruang kepada mereka melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) guntingan rambut percuma di masjid, pusat tahfiz dan sekolah,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Mohd Bahrin berkata, seramai 200 orang sudah menerima manfaat daripada program CSR dilakukan pelatih gunting rambut Pusat Waqaf Komuniti.

Sementara itu, pelatih Pusat Waqaf Komuniti, Shahrom Abu, 32, berkata dia menyertai program latihan gunting rambut itu untuk tempoh tiga bulan sejak Mac lalu.

“Kita akan belajar dari segi teori dan praktikal, jadi sekarang untuk program CSR adalah lebih kepada praktikal termasuk melakukan program Gunting Rambut Amal di sekolah dan rumah anak yatim.

“Program ini sangat baik untuk belia yang mahu menimba ilmu dan mahu mencari pekerjaan dan saya harap program ini dapat diteruskan dan diperluaskan sebaiknya,” katanya.

Terdahulu, seramai 95 kariah Masjid An-Nur Taman Cendana di sini, yang juga dikategorikan sebagai asnaf menerima sumbangan sempena Program Semarak Ramadan BH dan Jalinan Ukhuwah JCorp 2019.

Program Semarak Ramadan BH dan Jalinan Ukhuwah JCorp 2019 diakhiri dengan Majlis Khatam al-Quran dan sesi penyerahan bantuan kepada anak yatim yang berlangsung pada jam 6 petang tadi.

Hadir sama memeriahkan majlis ialah Naib Presiden Kanan Divisyen Tanggungjawab Korporat JCorp, Jamaludin Md Ali dan Pengarang Kumpulan BH, Khaidir A Majid.

Berita Harian X