Selasa, 21 Mei 2019 | 11:00am

Eksklusif: Dana 'bawah tanah' perluas rangkaian Aceh

KUALA LUMPUR: Lebih 100,000 daripada 500,000 warga Aceh di negara ini dipercayai menguasai sektor peruncitan dan perkhidmatan dengan sebahagian besarnya bertumpu di sekitar Lembah Klang.

Perniagaan Aceh ini dipercayai dilindungi warga tempatan yang membenarkan nama mereka digunakan dalam lesen dan mengaku pemilik kedai apabila operasi dilancarkan pihak berkuasa tempatan, khususnya Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Sumber berkata, dana kewangan komuniti Aceh itu menjadi kukuh susulan pelancaran tabung bencana mangsa tragedi tsunami pada 2004.

Malah, sebahagian besar warga Aceh yang berniaga juga dikatakan memiliki kad pengenalan Malaysia, kata sumber.


ABDUL Razak Ab Majid

Ahli Jawatankuasa Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Kuala Lumpur (DPMMKL), Abdul Razak Ab Majid, berkata kemampuan warga Aceh meluaskan rangkaian peruncitan di negara ini dipercayai bermula dengan bantuan kewangan oleh komuniti itu menerusi ‘dana bawah tanah’ sejak lebih sedekad lalu.

Katanya, kajian DPMMKL sejak 2012, mendapati dana itu pada awalnya diwujudkan bagi membantu komuniti Aceh di negara ini membina semula kehidupan mereka selepas ditimpa bencana tsunami.

“Mereka mula berniaga kecil-kecilan dikenali sebagai kedai Aceh untuk memenuhi keperluan harian komuniti sendiri.

“Namun, mereka semakin selesa untuk terus bertapak di negara ini dalam tempoh lebih lama. Malah, mereka kini dikatakan mula menawarkan wang lumayan kepada rakyat tempatan bagi mendapatkan lesen perniagaan sebelum ia dijalankan secara ali baba.

“Daripada kedai runcit, mereka membuka rangkaian kedai gunting rambut, bengkel kenderaan, kedai jamu dan lain-lain,” katanya kepada BH.


WARGA Aceh turut membuka kedai gunting rambut di sekitar Kuala Lumpur. - Foto Zulfadhli Zulkifli

Abdul Razak berkata, menerusi dana itu, komuniti Aceh yang berminat dibantu meluaskan rangkaian perniagaan sehingga ada yang membuka kedai runcit di 10 lokasi berbeza pada satu-satu masa.

Berfungsi seperti ahli koperasi, katanya, mereka memperoleh bekalan runcit lebih murah berbanding peniaga yang bergerak sendirian, antara punca barangan di kedai Aceh lebih murah harganya.

“Ada komuniti Aceh menyeludup wang keluar melalui ‘jalan tikus’ bagi mengelak dikesan pihak berkuasa atau dikenakan caj berlebihan oleh khidmat penghantaran wang keluar negara,” katanya.

Miliki kad pengenalan

Difahamkan, sebahagian besar daripada 500,000 warga Aceh di negara ini memiliki kad pengenalan kerana menetap sejak 1985 lagi. Daripada jumlah itu, 20 peratus atau 100,000 memiliki atau menjadi majikan di sektor perniagaan, manakala baki pekerja di sektor terbabit.


WARGA Aceh monopoli kedai runcit sekitar Lembah Klang.

Sementara itu, Yang Dipertua Persatuan Penjaja, Peniaga Kecil Melayu Wilayah Persekutuan (PPPKMWP), Datuk Mohamad Abdullah, berkata penyelesaian isu monopoli perniagaan oleh warga asing sebenarnya mudah jika rakyat tempatan tidak menyokong produk atau perniagaan mereka.

“Saya tidak nampak kaedah lain yang lebih berkesan kerana perniagaan mereka tumbuh ibarat cendawan selepas hujan, malah mula merebak ke bandar kecil seperti Hulu Langat, Hulu Selangor, Sepang dan Nilai di Negeri Sembilan,” katanya.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud, pula berkata imigresen menahan 6,644 pendatang asing tanpa izin warga Indonesia termasuk dari Aceh atas pelbagai kesalahan dari awal Januari hingga 29 April lalu.

Katanya, antara kesalahan utama mereka ialah menetap lebih masa dan menyalah guna pas lawatan sementara dengan bekerja atau berniaga di negara ini.

Turut ditahan lima majikan kerana menggajikan pekerja asing warga Indonesia tanpa dokumen sah dalam tempoh sama.

DBKL tarik lesen dialibabakan kepada warga asing

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyedari penguasaan perniagaan warga asing termasuk dari Aceh semakin meluas merangkumi sebahagian ibu kota.


NOR Hisham Ahmad Dahlan

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan, berkata perniagaan warga Aceh bukan sahaja tertumpu di kawasan Melayu, malah kawasan lain seperti di Brickfields, Jalan Pasar, Bukit Bintang dan Jalan Petaling.

Beliau berkata, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak pernah meluluskan lesen kepada bukan warganegara.

“Kemungkinan besar lesen niaga disewa atau dijual kepada bukan warganegara oleh pemilik tempatan,” katanya kepada BH.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai warga asing termasuk Aceh yang semakin menguasai sektor peruncitan dan perkhidmatan termasuk kedai gunting rambut di beberapa kawasan di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Katanya, DBKL tegas menjalankan penguatkuasaan termasuk menarik lesen perniagaan yang diberi atau disewakan kepada rakyat asing.

Lindungi hak rakyat tempatan

“Sebagai contoh di Medan Pasar, Jalan Tun HS Lee sudah banyak kedai ditutup dan diambil tindakan kepada pemegang lesen tempatan yang mengalibabakannya kepada warga asing.

“Ini menunjukkan DBKL sentiasa melaksanakan undang-undang untuk melindungi hak yang sewajarnya dinikmati rakyat di Wilayah Persekutuan,” katanya.

Dalam pada itu, satu sumber daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) berkata, penguatkuasaan bagi menangani isu lesen perniagaan yang dialibaba sukar dilakukan berikutan ia dilindungi pemegang sah lesen berkenaan dan pihak tertentu.

“Ada yang menggunakan platform persatuan, saluran politik atau badan beruniform untuk memastikan kegiatan warga asing tidak ‘diusik’.

“Biasanya mereka menggunakan alasan serumpun dan seagama, tetapi apa yang lebih membimbangkan, ia turut memberi kesan kepada isu lain seperti jenayah, penyeludupan manusia atau barang seperti rokok keretek, jamu, kosmetik dan makanan,” katanya.

“Malah, sindiket pemalsuan dokumen juga mengambil peluang mengaut keuntungan besar kesan kehadiran warga asing di negara ini,” katanya.

Berita Harian X