Isnin, 20 Mei 2019 | 11:35pm
KETUA Pegawai Eksekutif LYNAS, Amanda Lacaze. - Foto Salhani Ibrahim
KETUA Pegawai Eksekutif LYNAS, Amanda Lacaze. - Foto Salhani Ibrahim

MoU LYNAS-Blue Line Corp tidak jejas operasi di Gebeng

niksukry@bh.com.my

KUANTAN: Memorandum persefahaman (MoU) dimeterai antara Lynas Corporation Limited (LYNAS) dengan syarikat berpangkalan di Texas, Blue Line Corp, tidak membabitkan pemindahan operasi kilang memproses nadir bumi berkenaan di kawasan perindustrian Gebeng ke Amerika Syarikat (AS).

Ketua Pegawai Eksekutif LYNAS, Amanda Lacaze, berkata AS memerlukan nadir bumi yang sudah diproses dan buat masa ini mereka tidak memiliki fasiliti untuk melakukan pengasingan di sana.

Katanya, cadangan perkongsian seperti kandungan MoU berkenaan adalah untuk memenuhi kekurangan itu dan membolehkan LYNAS menawarkan kemahiran dan perkhidmatan terbaik kepada pelanggannya.

“Cadangan untuk mengadakan fasiliti bagi pengasingan nadir bumi akan menambah kebolehan memproses ‘downstream’ bagi LYNAS untuk memenuhi kehendak pelanggan, ia tidak menggantikan fasiliti yang sedia ada.

“Buat masa ini, kita (LYNAS) tidak mengasingkan nadir bumi berat iaitu SEG dan melalui perkongsian (MoU) ini, kita akan melakukan proses mengasingkan Disprosium dan Terbium dan beberapa kandungan nadir bumi berat yang berpotensi seperti SEG di sana (fasiliti di Texas),” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Amanda berkata, LYNAS melihat permintaan terhadap Disprosium dan Terbium menunjukkan peningkatan dan ia mampu menambah nilai kepada perniagaan dan pendapatan syarikat memproses nadir bumi itu.

“Perkongsian antara LYNAS dan Blue Line di tahap MoU, jadi kedua pihak akan memulakan penelitian dan menghalusi setiap maklumat yang ada.

“Pihak pengurusan sentiasa menilai peluang untuk meningkatkan sumber dan mungkin untuk tugasan pertama ialah mengasingkan SEG daripada LYNAS,” katanya.

Pengumuman mengenai MoU antara LYNAS dan Blue Line Corp diumumkan hari ini melalui satu kenyataan media yang dikeluarkan di Bengaluru, India.

MoU itu antara lain mengandungi persetujuan untuk menubuhkan fasiliti baharu membabitkan proses pemisahan nadir bumi di AS.

Pemindahan LYNAS ke AS itu adalah susulan daripada isu pengawalseliaan berterusan di kilang pemprosesannya di kawasan perindustrian Gebeng, dekat sini.

LYNAS dan Blue Line akan bekerjasama sepanjang tahun ini untuk membangunkan kemudahan pemprosesan itu di Texas, AS.

Berita Harian X