X
Isnin, 20 Mei 2019 | 7:09pm

KWAN jayakan Semarak Ramadan BH, Jalinan Ukhuwah JCorp

JOHOR BAHRU: Program Semarak Ramadan BH dan Jalinan Ukhuwah Johor Corporation (JCorp) 2019, hari ini, dimeriahkan lagi dengan khidmat saringan kesihatan secara percuma kepada orang ramai di Larkin Sentral.

Program saringan kesihatan bermula jam 2 hingga 6 petang yang berlangsung di ruang legar Larkin Sentral itu mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Saringan kesihatan itu dikendalikan sendiri oleh tujuh kakitangan Hospital Pakar KPJ Puteri dan Klinik Wakaf An-Nur (KWAN) Larkin Sentral sebagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Pengarah Eksekutif Hospital Pakar KPJ Puteri, Khairun Ahmad, berkata KWAN adalah usaha sama JCorp dengan KPJ menubuhkan klinik bagi tujuan membantu mereka yang memerlukan, terutama golongan kurang berkemampuan.

“Sebanyak 19 KWAN beroperasi di seluruh negara, termasuk enam di Johor, sejak mula ditubuhkan pada 1998 dan setakat ini, sudah memberi rawatan pesakit luar kepada kira-kira 1.475 juta orang.

Doktor dan kakitangan Hospital Pakar KPJ Puteri melakukan saringan kesihatan pesakit luar di Klinik Wakaf An-Nur (KWAN) Larkin Sentral, di Larkin Sentral. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin
Doktor dan kakitangan Hospital Pakar KPJ Puteri melakukan saringan kesihatan pesakit luar di Klinik Wakaf An-Nur (KWAN) Larkin Sentral, di Larkin Sentral. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin

“Hari ini, KWAN berbesar hati dapat bersama-sama JCorp dan BH menyediakan pemeriksaan kesihatan yang dikendalikan doktor KWAN dengan dibantu pekerja daripada Hospital Pakar KPJ Puteri,” katanya ketika ditemui, di sini, hari ini.

Khairun berkata, program hari ini bertepatan matlamat dan objektif KPJ Healthcare untuk membina ukhuwah dan hubungan baik dengan masyarakat setempat di mana sahaja mereka beroperasi.

Beliau berkata, ia selari misi KWAN, iaitu ‘memberi khidmat kesihatan kepada masyarakat umum, khususnya golongan daif tanpa mengira agama dan bangsa’.

KWAN di Larkin Sentral adalah antara klinik KWAN kelolaan enam hospital KPJ di Johor, selain turut mempunyai empat pusat dialisis dan sebuah klinik bergerak.

Orang ramai yang ingin membantu program CSR itu boleh menyalurkan sumbangan kepada KWAN.

Khairun (tengah) bergambar bersama kakitangan Hospital Pakar KPJ Puteri dan Klinik Wakaf An-Nur (KWAN) Larkin Sentral, di Larkin Sentral. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin
Khairun (tengah) bergambar bersama kakitangan Hospital Pakar KPJ Puteri dan Klinik Wakaf An-Nur (KWAN) Larkin Sentral, di Larkin Sentral. - NSTP/Mohd Azren Jamaludin
Berita Harian X