Isnin, 20 Mei 2019 | 4:22pm
Rina di Hospital Kuala Lumpur, Bahagian Kecemasan. - Ihsan Twitter Rina
Rina di Hospital Kuala Lumpur, Bahagian Kecemasan. - Ihsan Twitter Rina
Rina di Balai Polis Jalan Jelatek. - Ihsan Twitter Rina
Rina di Balai Polis Jalan Jelatek. - Ihsan Twitter Rina

Rina bawa 'Singgah Sahur' di Parlimen Titiwangsa

KUALA LUMPUR Tatkala yang lain lena diulit mimpi, Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Rina Harun, sanggup bersengkang mata dan meluangkan masa memburu pengertian Ramadan dengan menganjurkan program Singgah Sahur.

Lokasi pertama persinggahan ialah Bahagian Kecemasan Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang acap kali menyaksikan petugas perubatan tidak menang tangan memberikan perkhidmatan, selain melayani kunjungan pesakit luar yang ingin mendapatkan rawatan atau terbabit nahas.

Peka dengan perit getir tugasan sedemikian, Rina yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar, tiba pada jam 3.15 pagi tadi di perkarangan zon kecemasan HKL untuk menghulurkan pek sahur kepada 300 petugas perubatan, khususnya umat Islam.

Walaupun sekadar agihan sajian nasi, lauk dan buah, senyuman jelas terukir di wajah petugas perubatan hospital berkenaan, malah segelintir seakan terkejut apabila Rina hadir menyapa mereka sambil menyerahkan pek sahur.

Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu kemudian bergerak ke lokasi kedua, iaitu di ibu pejabat Angkatan Pertahanan Awam dekat Jalan Padang Tembak, di sini, sebelum program berkenaan berakhir di balai dekat bomba Jalan Jelatek.

Rina Angkatan Pertahanan Awam Jalan Padang Tembak bersama dengan 25 anggota. - Ihsan Twitter Rina
Rina Angkatan Pertahanan Awam Jalan Padang Tembak bersama dengan 25 anggota. - Ihsan Twitter Rina

Rina di Balai Bomba Jalan Jelatek. - Ihsan Twitter Rina
Rina di Balai Bomba Jalan Jelatek. - Ihsan Twitter Rina

Rina berkata, program sedemikian adalah sebahagian daripada inti pati pengisian Ramadan bagi Parlimen Titiwangsa, selain menyediakan peluang untuk turun padang dan menyelami kehidupan masyarakat.

Sehubungan itu, beliau berhasrat supaya program Singgah Sahur di parlimen berkenaan diteruskan supaya ia mencakupi pelbagai segmen masyarakat, selain agensi penguat kuasa dan pengamal perubatan.

“Selain Singgah Sahur, kita mengadakan Sumbangan Kasih Ramadan yang akan berlangsung sehingga penghujung bulan penuh keberkatan ini bagi membantu meringankan bebanan golongan asnaf dan kelompok kurang bernasib baik.

“Ia mendapat kerjasama Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Titiwangsa yang membantu mengenal pasti golongan sasar untuk diberikan bantuan supaya rezeki yang diperoleh sepanjang Ramadan dapat dikongsi secara bersama,” katanya.

Berita Harian X