Ahad, 19 Mei 2019 | 12:59pm
Rina (kiri) menyampaikan sumbangan kepada asnaf pada program Sumbangan Kasih Ramadan di Kawasan Parlimen Titiwangsa di Kampung Baru, hari ini. - NSTP/Aswadi Alias
Rina (kiri) menyampaikan sumbangan kepada asnaf pada program Sumbangan Kasih Ramadan di Kawasan Parlimen Titiwangsa di Kampung Baru, hari ini. - NSTP/Aswadi Alias
Rina (tengah) bergambar bersama asnaf pada program Sumbangan Kasih Ramadan di Kawasan Parlimen Titiwangsa di Kampung Baru, hari ini. - NSTP/Aswadi Alias
Rina (tengah) bergambar bersama asnaf pada program Sumbangan Kasih Ramadan di Kawasan Parlimen Titiwangsa di Kampung Baru, hari ini. - NSTP/Aswadi Alias

Segera selesaikan isu lambakan warga asing di Kampung Baru - Rina

KUALA LUMPUR: Isu lambakan warga asing yang menghantui penduduk Kampung Baru, perlu dipandang serius dan diselesaikan secepat mungkin.

Menteri Pembangunan Luar Bandar yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Rina Harun, berkata isu itu antara yang kerap dibangkitkan penduduk setiap kali beliau turun ke padang bertemu mereka.

“Ada pelbagai isu yang dibangkitkan penduduk mengenai warga asing, antaranya monopoli (dalam sektor perniagaan di Kampung Baru), keselamatan dan masalah sosial.

“Saya sudah maklumkan kekhuatiran penduduk ini kepada pihak berkuasa seperti Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan harap ia diselesaikan segera,” katanya kepada pemberita pada program Sumbangan Kasih Ramadan di Kampung Baru di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Wilayah Persekutuan (Zon Titiwangsa), Ahmad Zamri Asa’ad Khuzaimi dan Pengerusi MPP Wilayah Persekutuan (Sub Zon Kampung Baru), Fikri Ya’acob.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai jumlah penduduk warga asing di Kampung Baru serta sama ada lambakan kehadiran mereka menjadi satu isu kepada penduduk tempatan di kawasan itu.

Mengulas lanjut, Rina berkata, isu lambakan warga asing di Kampung Baru sudah berlarutan sejak beberapa tahun lalu, hingga ada antara mereka yang sudah berkahwin dengan penduduk tempatan dan mempunyai keluarga.

“Kerajaan juga sedang mengenal pasti inisiatif supaya lambakan ini dapat dikawal, kerana mereka perlu dihadkan kepada industri atau sektor pekerjaan tertentu sahaja,” katanya.

Terdahulu, Rina menyampaikan sumbangan wang tunai dan barangan keperluan asas kepada 50 asnaf di Kampung Baru, sempena program Sumbangan Kasih Ramadan.

Katanya, program itu akan diadakan di setiap kawasan dalam Parlimen Titiwangsa sepanjang Ramadan ini, dengan sasaran menyantuni dan membantu sekurang-kurangnya 1,000 asnaf.

Berita Harian X