Sabtu, 18 Mei 2019 | 11:01am
Lee Lam Thye (duduk lima, kiri) bergambar bersama pengamal media ketika Majlis Iftar Ramadan NIOSH Bersama Media malam tadi.--foto BERNAMA
Lee Lam Thye (duduk lima, kiri) bergambar bersama pengamal media ketika Majlis Iftar Ramadan NIOSH Bersama Media malam tadi.--foto BERNAMA
Lee Lam Thye (dua, kanan) beramah mesra bersama pengamal media ketika Majlis Iftar Ramadan NIOSH Bersama Media malam tadi.--foto BERNAMA
Lee Lam Thye (dua, kanan) beramah mesra bersama pengamal media ketika Majlis Iftar Ramadan NIOSH Bersama Media malam tadi.--foto BERNAMA

Organisasi media perlu ada pegawai keselamatan dan kesihatan pekerjaan

KUALA LUMPUR: Semua organisasi media perlu mempunyai pegawai keselamatan dan kesihatan pekerjaan untuk memberi pengetahuan dan membantu pengamal media mengenai isu itu.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata adalah penting untuk memastikan keselamatan pengamal media terutama ketika menjalankan tugas di lapangan.

“Insiden Sungai Kim Kim di Pasir Gudang Johor baru-baru ini telah membangkitkan kebimbangan saya apabila lima pengamal media dimasukkan ke hospital akibat terkesan dengan udara yang tercemar.

“Oleh itu, saya menyeru semua majikan agar melengkapkan wartawan mereka dengan pengetahuan peralatan perlindungan peribadi sekiranya keadaan yang sama berulang kembali,” katanya pada Majlis Iftar Ramadan Bersama Media, malam tadi.

Lee berkata, NIOSH bersedia bekerjasama dengan mana-mana organisasi media jika ada keperluan dari segi latihan dan nasihat.

“Kami merancang untuk membangunkan modul keselamatan bagi pengamal media, selain menganjurkan lebih banyak seminar untuk mewujudkan kesedaran dalam kalangan mereka,” katanya.

Beliau berkata, NIOSH sudah menganjurkan program keselamatan dan kesihatan untuk pengamal media sejak 2017.

– BERNAMA

Berita Harian X