Khamis, 16 Mei 2019 | 8:21pm
TUN DR Mahathir (tengah) merasmikan Hari Belia Negara 2019 bertemakan 'Youth Power' di Universiti Kebangsaan Malaysia. - Foto BERNAMA
TUN DR Mahathir (tengah) merasmikan Hari Belia Negara 2019 bertemakan 'Youth Power' di Universiti Kebangsaan Malaysia. - Foto BERNAMA

Syed Saddiq berterima kasih, GPMS sokong belia dilantik Senator

KUALA LUMPUR: Kesediaan kerajaan melantik belia yang berpengaruh serta berpengalaman dalam bidang pembangunan belia sebagai Ahli Dewan Negara serta dalam pelbagai jawatan utama kerajaan disambut positif pertubuhan belia.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman turut mengalu-alukan cadangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam membangunkan generasi muda.

Ahli Parlimen Muar itu turut mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri yang mahu memberi ruang lebih luas kepada suara golongan belia dalam membuat keputusan.

“Terima kasih Tun M. RM100 juta dana khas bagi pembangunan infra sukan luar bandar. Dilakukan melalui tender terbuka dan proses penilaian yang telus.

“RM50 juta geran belia bagi program belia atau sukan di akar umbi. Lantikan seorang Senator muda dalam tempoh terdekat. Finally (akhirnya),” katanya menerusi akaun Twitternya, hari ini.

Dr Mahathir ketika merasmikan Hari Belia Negara 2019 semalam berkata kerajaan akan terus memberikan fokus dan keutamaan dalam membangunkan generasi muda melalui pelbagai inisiatif akan terus dilaksana dan diperkukuh di masa akan datang termasuk melantik menjadi Senator.

Sementara itu, Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS), Alif Anas Md Noor, berkata pertubuhan itu pada dasarnya bersetuju dan menyokong usaha meningkatkan pembabitan belia dalam penggubalan undang-undang dan dasar.

Katanya, perkara ini adalah isu yang diperjuangkan Majlis Belia Malaysia (MBM) di dalam beberapa siri Majlis Perundingan Belia Negara (MPBN) bersama kerajaan.

“Alhamdulillah, saranan ini akhirnya disambut pemimpin nombor satu negara.

“GPMS berharap tokoh belia yang bakal diangkat kelak hendaklah benar-benar menjiwai perjuangan dan menguasai isu kehidupan belia Malaysia seperti peluang pekerjaan, gaji yang bersesuaian mengikut kelayakan, perumahan akses kepada pendidikan dan latihan berkualiti serta akses terbabit dalam masyarakat sivil.

“GPMS juga mahu tokoh belia yang diamanahkan jawatan Senator dihormati dan disegani persatuan belia di seluruh negara.

“Justeru, kami berharap Menteri Belia dan Sukan mengambil kira pandangan GPMS dengan serius dalam proses penamaan calon bagi jawatan ini kepada Jemaah Menteri dan Perdana Menteri kelak,” katanya.

Berita Harian X