Rabu, 15 Mei 2019 | 9:00pm
DATUK Seri Rina Mohd Harun beramah mesra bersama media di Hotel Premiera, Kuala Lumpur. - NSTP/Syarafiq Abd Samad
DATUK Seri Rina Mohd Harun beramah mesra bersama media di Hotel Premiera, Kuala Lumpur. - NSTP/Syarafiq Abd Samad

Jangan tukar nama Kampung Baru - Rina

KUALA LUMPUR: Nama Kampung Baru wajar dikekalkan walaupun kerajaan berhasrat membangunkan semula kawasan yang mempunyai nilai sejarah dan keunikan tersendiri itu.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Rina Harun, berkata dengan usianya yang menjangkau lebih 100 tahun, identiti Kampung Baru perlu dikekalkan tanpa menjenamakan semula dengan nama lain.

“Jangan hilangkan nama Kampung Baru, jangan jenamakan seperti Hill ke dan sebagainya, kekalkan nama Kampung Baru walau ada pembangunan.

"Sebab Kampung Baru ini ada banyak nilai sejarah, saya tidak mahu jadi seperti Kampung Kerinchi dulu jadi Bangsar South.

“Saya juga berharap nama kampung-kampung lain turut dikekalkan,” katanya kepada pemberita pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Pakatan Harapan Parlimen Titiwangsa di sini, hari ini.

MENTERI Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Mohd Harun ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa bersama media di Hotel Premiera, Kuala Lumpur. - Foto BERNAMA
MENTERI Pembangunan Luar Bandar Datuk Seri Rina Mohd Harun ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa bersama media di Hotel Premiera, Kuala Lumpur. - Foto BERNAMA

Yang turut hadir, Ketua Parti Amanah Negara (AMANAH) Cawangan Titiwangsa, Zaharudin Othman dan Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan, Zahir Hassan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan terkini pelan pembangunan semula Kampung Baru.

Pada 22 April lalu, Khalid dipetik sebagai berkata kerajaan memerlukan dana RM10 bilion jika berhasrat membeli tanah di Kampung Baru untuk dibangunkan menjadi penempatan moden dan sistematik orang Melayu di tengah ibu kota.

Katanya, dana itu diperlukan untuk membolehkan kementerian membangunkan Kampung Baru secara menyeluruh dan bukan secara berkelompok atau ‘runcit’ oleh pemilik tanah bersama pemaju.

Dalam pada itu, Rina berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan menyeluruh bagi mengenal pasti jumlah dan status sebenar setiap penduduk yang menetap di Kampung Baru.

“Saya percaya Perbadanan Pembangunan Kampung Baru menjalankan siasatan bersama Jabatan Imigresen bagi mengetahui sama ada penduduk warganegara atau bukan.

“Kita mahu mengutamakan pembangunan ini memberi manfaat kepada rakyat kita bukannya kepentingan warga asing di kampung ini, sebab itu kita buat pemutihan di sini.

“Ini pembangunan menyeluruh secara holistik, bukan sahaja dari segi fizikal tetapi juga sosioekonomi.

“Isu pembangunan Kampung Baru sudah lama, saya harap kali ini dapat dibuat satu keputusan yang lebih jelas tanpa meminggirkan hak penduduk,” katanya.

Berita Harian X