Selasa, 14 Mei 2019 | 8:18pm
Tun Dr Mahathir Mohamad berucap pada majlis Iftar BERSATU di Putrajaya, hari ini. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
Tun Dr Mahathir Mohamad berucap pada majlis Iftar BERSATU di Putrajaya, hari ini. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

Berkorban demi perjuangan parti - Tun M

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad mengingatkan ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bahawa perjuangan parti adalah bersandarkan pengorbanan dan bukan mengejar jawatan semata-mata.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi BERSATU, berkata tujuan utama menyertai parti juga bukan untuk mendapat sesuatu ganjaran, sebaliknya untuk berkorban demi bangsa, agama dan tanah air.

“Ramai ahli parti rasa kecewa kerana kemenangan parti dalam pilihan raya umum lalu tak beri sesuatu kepada mereka... ada yang dapat menjadi menteri, timbalan menteri dan macam-macam jawatan.

“(Bagaimanapun) Kita tak dapat beri jawatan kerana jawatan terhad bilangannya, tapi percayalah dengan adanya pemimpin (yang dipilih) negara akan lebih makmur membangun dan semua ini akan beri nikmat kepada kita semua,” katanya ketika berucap pada majlis Iftar BERSATU di sini, hari ini.

Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali bersama Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis Iftar BERSATU di Putrajaya, hari ini. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali bersama Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada majlis Iftar BERSATU di Putrajaya, hari ini. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

Dr Mahathir berkata, kerajaan tidak boleh menyalahgunakan kuasa untuk beri kekayaan dan tempat tertentu untuk penyokong mereka.

“Ada yang kecewa apabila berhempas pulas jatuhkan kerajaan kleptokrasi, tetapi tidak dapat apa-apa layanan.

“Tetapi saya percaya kalau kita jadi parti yang bersih, rakyat akan memberikan sokongan kepada kita dan negara akan jadi lebih maju dan pada akhirnya dapat sesuatu bagi diri kita,” katanya.

Sementara itu Dr Mahathir berkata, kemenangan cemerlang Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raye Kecil (PRK) Parlimen Sandakan adalah hasil sokongan padu parti di Sabah termasuk Parti Warisan Sabah (WARISAN) walaupun tidak ramai keluar mengundi.

“Kemenangan ini adalah kerana rakyat sedar PH adalah parti yang baik di mana pemimpin berkorban tanpa mengharap sesuatu.

“Rakyat juga lebih utamakan dan pandang tinggi kepada parti yang dianggotai pemimpin yang sanggup berkorban untuk bangsa, agama dan tanah air,” katanya.

Berita Harian X