Isnin, 13 Mei 2019 | 4:03pm
Kulasegaran (tiga dari kiri) melancarkan Pusat SOSCO Neuro-Robotics Rehabilitation & Cybernics di Pusat Rehabilitasi PERKESO Tun Abdul Razak di Hang Tuah Jaya, hari ini. - NSTP/Khairunisah Lokman
Kulasegaran (tiga dari kiri) melancarkan Pusat SOSCO Neuro-Robotics Rehabilitation & Cybernics di Pusat Rehabilitasi PERKESO Tun Abdul Razak di Hang Tuah Jaya, hari ini. - NSTP/Khairunisah Lokman

PERKESO miliki kemudahan perubatan robot termaju di Asia Tenggara

AYER KEROH: Malaysia muncul negara pertama di Asia Tenggara dan keempat dunia selepas Jepun, Amerika Syarikat dan Jerman, yang mengguna pakai teknologi sut robot Hybrid Assistive Limb (HAL).

Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran, berkata penggunaan HAL memudahkan pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) mendapatkan rawatan pemulihan kecederaan dengan pantas.

Katanya, teknologi termaju robotik dari Cyberdyne Inc Japan yang ditempatkan di Pusat SOSCO Neuro-Robotics Rehabilitation & Cybernics itu sekali gus menzahirkan hasrat kerajaan untuk membantu pesakit khususnya pencarum PERKESO mendapatkan rawatan awal pemulihan.

“PERKESO membelanjakan AS$200,000 (RM832,775.00) bagi penubuhan Pusat SOSCO Neuro-Robotics Rehabilitation & Cybernics di Pusat Rehabilitasi PERKESO Tun Abdul Razak, di Ayer Keroh sejak November tahun lalu dan kini mempunyai 24 sut robot HAL bagi kemudahan rawatan pesakit.

“Kita percaya, teknologi perubatan menerusi kaedah sut robot HAL ini dapat membantu pesakit lumpuh, kemalangan dan masalah saraf pulih pulih dengan lebih cepat berbanding kaedah rawatan lain.

Kulasegaran (kanan) beramah mesra dengan pesakit, Mohd Mizan Nazran Mohd Razlan, 21, (dua dari kiri) yang melakukan proses pemulihan menggunakan 'Hybrid Assistive Limb (HAL) Robot Suits'. - NSTP/Khairunisah Lokman
Kulasegaran (kanan) beramah mesra dengan pesakit, Mohd Mizan Nazran Mohd Razlan, 21, (dua dari kiri) yang melakukan proses pemulihan menggunakan 'Hybrid Assistive Limb (HAL) Robot Suits'. - NSTP/Khairunisah Lokman

“Saya difahamkan, sehingga kini 100 pencarum PERKESO yang mengalami pelbagai penyakit sudah memanfaatkan kemudahan ini sejak ia dibuka akhir tahun lalu, manakala tempoh menunggu pesakit sekitar kira-kira tiga bulan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Pusat SOSCO Neuro-Robotics Rehabilitation & Cybernics di Pusat Rehabilitasi PERKESO Tun Abdul Razak di sini, hari ini.

Yang hadir sama, EXCO Perpaduan, Sumber Manusia, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Hal Ehwal Pengguna negeri, G Saminathan; Ketua Pegawai Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed; Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Cyberdyne Inc Japan, Prof Dr Yoshiyuki Sankai dan Pengarah Pusat Rehabilitasi PERKESO Tun Abdul Razak, Dr Hafez Hussain.

Sementara itu, Kulasegaran turut menggesa PERKESO melanjutkan masa perkhidmatan di Pusat SOSCO Neuro-Robotics Rehabilitation & Cybernics dari jam 9 pagi hingga 11 malam berbanding hingga jam 5 petang sekarang, dalam usaha mengurangkan tempoh menunggu pesakit.

“Dengan lanjutan masa ini, saya percaya tempoh menunggu pesakit dapat disingkatkan, sekali gus pesakit boleh mendapatkan rawatan awal serta membantu proses pemulihan dan segera kembali bekerja,” katanya.

Sementara itu, seorang penerima rawatan sut robot HAL, Mohd Mizan Nazran Mohd Razlan, 21, berkata beliau bersyukur kerana sudah mampu berjalan semula selepas mengalami lumpuh daripada paras pinggang ke bawah akibat terjatuh dari tingkat 14 sebuah bangunan di Pulau Pinang.

“Siapa tidak sedih, tiba-tiba boleh menjadi lumpuh dan saya hampir berputus asa dan mudah marah. Seorang doktor menyarankan saya merujuk ke pusat rehabilitasi ini memandangkan saya seorang pencarum PERKESO.

“Alhamdulillah, selepas lebih sebulan rawatan, kaki sudah boleh bergerak dan saya kini masih dalam proses berjalan dengan bantuan sut robot HAL,” katanya.

Berita Harian X