Sabtu, 11 Mei 2019 | 5:52pm
SANDAKAN 11 MEI 2019. Beberapa saluran didapati lengang pada hari mengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan, di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Chi Hua. NSTP/KHAIRULL AZRY BIDIN.
SANDAKAN 11 MEI 2019. Beberapa saluran didapati lengang pada hari mengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan, di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Chi Hua. NSTP/KHAIRULL AZRY BIDIN.
Pengundi, Keristina Sek dibantu petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menggunakan kerusi roda pada hari mengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan, di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Chi Hua. - Foto Khairull Azry Bidin

Pengundi saat akhir berlari, naik 'buggy'

SANDAKAN: Sebilangan pengundi bergegas menunaikan tanggungjawab pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sandakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Muhibbah, di sini, ketika hanya tinggal 10 minit sebelum pusat mengundi ditutup pada jam 5 petang tadi.

Ada antara mereka dilihat berlari menuju ke saluran mengundi, malah tidak kurang juga yang menggunakan perkhidmatan kereta ‘buggy’ untuk sampai cepat ke bilik mengundi.

Pengundi terakhir, Dirman Mandir, 40, dari Taman Mesra berkata beliau bercuti hari ini tetapi terlewat ke pusat mengundi itu kerana menyangkakan ia akan ditutup pada jam 5.30 petang.

Dirman Mandir, 40, keluar dari pagar sekolah selepas menjadi pengundi terakhir di Pusat Pembuangan Undi, Sekolah Kebangsaan Muhibbah, Sandakan. - Foto Khairull Azry Bidin
Dirman Mandir, 40, keluar dari pagar sekolah selepas menjadi pengundi terakhir di Pusat Pembuangan Undi, Sekolah Kebangsaan Muhibbah, Sandakan. - Foto Khairull Azry Bidin

“Saya cuti hari ini dan duduk di rumah saja. Saya memang merancang untuk keluar mengundi pada sebelah petang sebab tidak mahu bersesak.

“Saya ingatkan masa mengundi hingga jam 5.30 petang, namun rupa-rupanya setakat jam 5 petang. Mujur ada jiran memberitahu, jika tidak mungkin saya terlepas peluang mengundi,” katanya yang bekerja sebagai pemandu lori.

Tinjauan BH di dua pusat mengundi, SK Muhibbah dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chi Hwa, mendapati kehadiran pengundi berkurangan mulai jam 12 tengah hari.

Setakat jam 4 petang tadi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melaporkan peratusan keluar mengundi hanya 51 peratus.

SPR sebelum ini menjangkakan keputusan rasmi PRK berkenaan akan diketahui selewat-lewatnya pada jam 10 malam.

Berita Harian X