Rabu, 8 Mei 2019 | 8:43pm

Syarikat korporat serah zakat perniagaan

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharifuddin Idris Shah berkenan menerima pembayaran zakat perniagaan daripada enam syarikat korporat berjumlah RM13.1 juta, hari ini.

Enam syarikat berkenaan adalah Kumpulan DRB-Hicom yang membayar zakat sebanyak RM4.63 juta, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dengan RM2.85 juta dan Syarikat Kumpulan Worldwide Holdings Berhad menunaikan bayaran RM2.75 juta.

Bank Islam Malaysia Berhad membayar RM1.21 juta, UMW Holdings Berhad (RM1.16 juta) dan Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) sebanyak RM500,000.

Sultan Selangor menerima zakat berkenaan pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat di Dewan Syarahan dan Muzakarah, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini, hari ini.

Baginda diiringi Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Yang turut hadir, Menteri Besar, Amirudin Shari; Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali; Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad; Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Datuk Mohammed Khusrin Munawi dan Pengerusi Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Haris Kasim.

Pada majlis sama, Sultan Selangor menyampaikan sumbangan hari raya kepada 543 penerima merangkumi 72 asnaf fakir, 394 orang miskin dan 77 asnaf mualaf.

Mereka menerima sumbangan zakat RM500 seorang membabitkan zakat berjumlah RM271,500.

Sementara itu, Mohamed Khusrin dalam ucapannya berkata, 2018 adalah pencapaian amat positif untuk MAIS, agensi agensi agama dan anak syarikat MAIS.

“Penyata Kewangan MAIS yang berakhir pada 31 Disember 2018 menunjukkan pendapatan keseluruhan membabitkan wang baitulmal, zakat, wakaf dan anak syarikat MAIS ialah RM1.1 bilion

“Jumlah ini adalah prestasi membanggakan berbanding beberapa tahun sebelumnya,” katanya.

Beliau berkata, LZS memperuntukkan RM26.3 juta untuk diagihkan kepada asnaf fakir, miskin dan mualaf di seluruh Selangor sepanjang Ramadan dan Syawal ini.

Sultan Sharifuddin Idris Shah berkenan menerima pembayaran zakat perniagaan daripada Pengarah Urusan Kumpulan DRB Hicom, Datuk Seri Syed Faisal Albar pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. - NSTP/Roslin Mat Tahir
Sultan Sharifuddin Idris Shah berkenan menerima pembayaran zakat perniagaan daripada Pengarah Urusan Kumpulan DRB Hicom, Datuk Seri Syed Faisal Albar pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Rakyat di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam. - NSTP/Roslin Mat Tahir
Berita Harian X