Isnin, 6 Mei 2019 | 9:12pm

Isu Lynas: Australia tolak cadangan Putrajaya

KUALA LUMPUR: Australia menolak tawaran kerajaan Malaysia untuk menghantar balik sisa pembuangan radioaktif daripada kilang nadir bumi Lynas di Gebeng, Kuantan.

Menteri Perhubungan Industri, Tenaga, Petroleum dan Perlombongan Australia Barat, Bill Johnston, mengakui bahawa jalan terbaik untuk memusnahkan sisa berkenaan ialah dengan membawanya balik ke tempat asal, tetapi berkata Australia Barat tidak akan sama sekali menerima sisa itu dari luar negara.

Nadir bumi yang diproses di kilang di Lynas, Kuantan digelar sebagai ‘Lynas Advanced Material Plant (Lamp), berasal daripada Mount Weld, Australia Barat.

“Secara umum, tempat terbaik untuk bahan yang tercemar ialah dari mana bahan itu berasal, yang dalam hal ini ia akan menjadi terbatal, kerana kami tidak mengambil sisa buangan dari luar negara” kata Johnston kepada agensi berita The Australian.

Sementara itu, Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin, sudah meminta Lynas menghantar balik sisa berkenaan ke Australia sebagai syarat pelesenan, khususnya dalam sisa ‘Water Leach Purification’ (WLP).

Fasiliti Lynas menghasilkan dua jenis sisa iaitu WLP radioaktif dan bahan bukan radioaktif ‘neutralisation underflow’ (NUF).

Sejak Disember lalu, sisa WLP yang terkumpul di Lynas mencatat 451,564 tan, manakala sisa NUF dilaporkan berjumlah 1.113 juta tan.

Lynas sudah berusaha mengubah NUF menjadi produk komersial, namun kajian perintis mendapati penggunaannya sebagai baja membawa kepada peningkatan tahap logam berat, walaupun dalam tahap yang dibenarkan. - Agensi

Berita Harian X