Sabtu, 4 Mei 2019 | 8:18pm
KETUA Pegawai Eksekutif Proton, Dr Li Chunrong. - Foto Zunnur Al Shafiq.

Jualan kereta PROTON semakin memberangsangkan

SEREMBAN: Kereta PROTON mencatat pertumbuhan jualan memberangsangkan apabila meningkat sebanyak 50.2 peratus dari Januari hingga April 2019, berbanding tempoh sama tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif Perusahaan Otomobil Nasional Sdn Bhd (PROTON), Dr Li Chunrong, berkata peningkatan itu meletakkan kereta PROTON di tempat kedua bagi jualan kereta seluruh negara.

Katanya, PROTON X70 adalah kenderaan utiliti sukan (SUV) paling popular dan menjadi pilihan apabila lebih 27,000 unit tempahan diterima dan 11,133 unit sudah diserahkan kepada pelanggan di seluruh negara.

“Manakala PROTON Iriz dan PROTON Persona terbaru yang dilancarkan pada 23 April lalu turut menyumbang kepada peningkatan apabila lebih 4,000 unit tempahan diterima dari tempoh aktiviti prapelancaran selama dua bulan yang dijalankan secara menyeluruh.

“Aktiviti naik taraf cawangan PROTON membolehkan pelanggan sedia ada dan baharu melihat kereta PROTON secara berbeza. Pencapaian ini dibuat dengan usaha bersepadu dari semua pihak, iaitu pengedar, pembekal dan juga kakitangan syarikat.

“Saya sangat teruja untuk mengumumkan bahawa PROTON menukar kedudukan dari tempat ketiga, kembali kepada tempat kedua buat kali pertama dalam tempoh 37 bulan dan kita berharap ia kekal sehingga hujung tahun ini,” katanya dalam kenyataan pada Majlis Perasmian Cawangan 3S PROTON di Taman Perindustrian Galla, di sini, hari ini.

Majlis disempurnakan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Aminuddin Harun.

Yang turut hadir ialah Pengarah Setia Auto Drive Sdn Bhd, Datuk Yap Kat Boon.

Cawangan ke-79 itu yang membabitkan kos RM3 juta menyediakan pelbagai kemudahan termasuk penyelenggaraan, servis pengangkat dan pusat jualan.

Dr Li berkata, pihaknya kini mengadakan promosi bagi bulan Mei 2019 dengan penjimatan sehingga RM4,000 untuk Iriz dan Ertiga, RM3,800 bagi PROTON Saga dan pelbagai lagi tawaran bagi model terpilih PROTON.

Sementara itu, Yap yakin perkembangan kereta PROTON memberi dorongan yang positif apabila pengguna sudah kembali menjadikan jenama itu sebagai pilihan.

“Sebelum ini jenama PROTON bukanlah pilihan utama pelanggan, tetapi sekarang, tanggapan itu sudah berubah.

“Saya sangat berpuas hati untuk menjadi sebahagian daripada jenama dan model baharu dari PROTON menjadi tarikan melalui ciri keselamatan yang dipertingkat,” katanya.

Berita Harian X