Rabu, 1 Mei 2019 | 5:36pm
MOHAMED Shafie (tengah) menyampaikan Anugerah Hari Pekerja kepada Lee Lam Tyhe (dua dari kanan) pada majlis sambutan perayaan Hari Pekerja 2019, di Tamu Hotel & Suites, Kuala Lumpur. - Foto Nadim Bokhari

Perluas Akta 789, lindungi lebih ramai pekerja - Lam Thye

KUALA LUMPUR: Syor kerajaan untuk memperluaskan pemakaian Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789) bagi manfaat golongan bekerja sendiri adalah tepat pada masanya.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata cadangan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, itu bertepatan supaya lebih ramai golongan bekerja sendiri mendapat perlindungan daripada risiko kemalangan di tempat kerja.

“Soal kebajikan ini bererti mereka harus diberikan pelbagai kemudahan oleh kerajaan dan majikan supaya kesejahteraan dan kualiti hidup serta aspek keselamatan mereka terjamin.

“Usaha ini penting bagi melindungi pekerja di negara kita sama ada makan gaji atau bekerja sendiri, seperti kumpulan nelayan, petani, pemandu teksi dan e -hailing.

“Justeru, kebajikan pekerja wajar dijamin,” katanya kepada media selepas menghadiri sambutan Hari Pekerja 2019 di sini, hari ini.

Turut hadir, Presiden Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Datuk Mohamed Shafie BP Mammal dan Penolong Pengurus Sumber Manusia Bank Islam, Sharifah Sheikha Syed Tahir.

Terdahulu, Dr Mahathir dilaporkan berkata golongan nelayan, petani, pekebun kecil, penjaja, penggiat seni dan pemandu teksi wajar mendapat perlindungan di bawah Akta 789.

Beliau mencadangkan akta berkenaan diperluaskan supaya lebih ramai golongan bekerja sendiri mendapat perlindungan daripada risiko kemalangan di tempat kerja.

Sementara itu, Lam Thye turut menyarankan majikan di semua sektor untuk melaksanakan lebih banyak automasi bagi proses pematuhan pengurusan keselamatan supaya ia seiring dengan Revolusi Perindustrian 4.0.

Katanya, untuk menyokong proses transformasi di bawah Perindustrian 4.0, semua pihak perlu menerima teknologi terkini berkaitan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (OSH).

“Kemajuan terkini dalam teknologi keselamatan membolehkan majikan melindungi pekerja dengan lebih berkesan.

“Ia turut membantu mereka meningkatkan daya saing dengan mengurangkan kos berkaitan pengurusan keselamatan.

“Sebagai contoh, peralatan pelindung diri (PPE) dengan sensor (pengesan) atau teknologi pengenalan frekuensi radio (RFID) boleh mempercepatkan proses pengumpulan data selain meningkatkan ketepatan dan kecekapan,” katanya.

Berita Harian X