Rabu, 1 Mei 2019 | 3:03pm
PENGERUSI Eksekutif SKM, Datuk Nordin Salleh merasmikan Kedai Runcit (Mini Mart 55) dan Kafe milik Koperasi Konsortium E-Mutiara Kelantan Berhad (KEMKB) di Kota Bharu, hari ini. - Foto Fathil Asri
PENGERUSI Eksekutif SKM, Datuk Nordin Salleh merasmikan Kedai Runcit (Mini Mart 55) dan Kafe milik Koperasi Konsortium E-Mutiara Kelantan Berhad (KEMKB) di Kota Bharu, hari ini. - Foto Fathil Asri

SKM mahu gabung semua koperasi

KOTA BHARU: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bercadang menggabungkan semua koperasi di negara ini supaya dapat berperanan lebih berkesan dalam menyumbang kepada ekonomi negara.

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Nordin Salleh, berkata langkah itu dapat memperkasakan koperasi, sekali gus bersaing dengan sektor korporat lain.

“Koperasi wujud di negara ini hampir 100 tahun, tetapi peranan dan sumbangannya terhadap ekonomi negara tidak dilihat orang ramai.

“Kita mahu gabungkan koperasi (mengikut sektor) di negara ini supaya dapat menambah kapasitinya. Apabila bergabung, kita dapat jalankan perniagaan dengan skala lebih besar, selain dapat bersaing dengan sektor korporat yang sudah menguasai ekonomi negara.

“Jadi, saya bawa strategi menggabungkan lebih 14,000 koperasi di negara ini yang mempunyai keahlian lebih 6.5 juta dengan perolehan mencecah RM42 bilion dan aset RM139.6 bilion supaya dapat menjadi antara penyumbang ekonomi negara,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Kedai Runcit (Mini Mart 55) dan Kafe milik Koperasi Konsortium E-Mutiara Kelantan Berhad (KEMKB) di sini, hari ini.

Yang hadir sama, Pengerusi KEMKB, Che Ibrahim Che Ismail.

Nordin berkata, sebagai permulaan, pihaknya menubuhkan kelab untuk mewujudkan persefahaman dalam kalangan koperasi ini sebelum penggabungan dapat dilaksanakan secepat mungkin.

“Kita akui sukar untuk membuat perubahan dengan penggabungan ini, jadi kita wujudkan kelab supaya koperasi dapat duduk bersama dan mewujudkan keserasian.

“Apabila tiba masa bergabung, kita harap mereka sudah bersedia dengan menganggap rakan yang dulu sebagai pesaing menjadi kawan dengan matlamat sama,” katanya.

Berita Harian X