Selasa, 30 April 2019 | 9:23pm
PENGARAH Urusan Mydin, Datuk Dr Ameer Ali Mydin.
PENGARAH Urusan Mydin, Datuk Dr Ameer Ali Mydin.

'Girang Syawal Tiba' bersama Mydin

KUALA LUMPUR: Mydin Holding Berhad (Mydin) menganjurkan pelbagai acara dan tawaran menarik menerusi Kempen Girang Syawal Tiba 2019 menjelang Ramadan dan Syawal yang akan datang.

Pengarah Urusan Mydin, Datuk Dr Ameer Ali Mydin, berkata pihaknya turut melancarkan tabung Mydin Prihatin dengan tema ‘Zahirkan Kesyukuran, Semarakkan Keriangan’ bagi mengumpul dana untuk disumbangkan kepada rumah anak-anak yatim dan golongan asnaf.

“Terdapat 11 syarikat pembekal berjenama, antara lain Coca-Cola, Sunquick, Gardenia dan Mamee selain syarikat e-dagang Shopee, yang juga rakan eksklusif Mydin, turut terbabit dalam menjayakan kutipan tabung ini.

“Promosi ini termasuk koleksi baju lelaki, wanita dan kanak-kanak; kuih raya dan barangan segar seperti ayam, ikan, serta keperluan dapur. Sasaran tabung ini adalah RM200,000, yang akan diserah kepada 14 rumah kebajikan berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di seluruh negara.

“Mydin turut menyediakan pelbagai tawaran bagi memastikan kepuasan pelanggan yang berbelanja dengan kualiti produk sentiasa dijaga,” katanya pada majlis pelancaran Kempen Girang Syawal Tiba 2019 di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat, Hannah Yeoh .

Sementara itu, Hannah mengingatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan sindiket yang meminta derma sempena musim perayaan ini terutama ketika membeli belah sepanjang Ramadan.

“Bulan Ramadan ini memang ramai orang yang ingin menderma tetapi harap pastikan terlebih dulu mereka yang memungut derma itu ikhlas dan memang disalurkan kepada golongan yang memerlukan.

“Kesemua 14 rumah kebajikan yang terbabit dalam Kempen Girang Syawal Tiba 2019 ini sudah pun disahkan berdaftar dengan JKM dan orang ramai tidak perlu risau.

“Di bawah kempen ini, setiap jenama yang bekerjasama dengan Mydin akan menyumbang antara 10 sen sehingga 50 sen daripada harga jualan barangan tertentu kepada tabung Mydin Prihatin,” katanya.

Hannah turut mengingatkan semua pihak bahawa di bawah Akta Kanak-Kanak, dilarang sama sekali menggunakan kanak-kanak untuk mengutip derma dan orang ramai harus berwaspada supaya tidak menjadi mangsa sindiket yang memperalatkan kanak-kanak.

Berita Harian X