Selasa, 30 April 2019 | 9:22pm
MOHD Hatta Md Ramli (tengah) menyaksikan majlis Memorandum Persefahaman (MoU) pengeluar barangan kesihatan tempatan diantara Caring Pharmacy Group Berhad (CARING) diwakili Yeow Siang (kiri) dan Trisucess Global Sdn Bhd, diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Tuan Shah Mohd, di Petaling Jaya. - Foto Nadim Bokhari

Usahawan perlu lebih berdikari, tidak mengharap geran

PETALING JAYA: Usahawan disaran tidak terlalu bergantung kepada pemberian geran kerajaan untuk memulakan perniagaan, sebaliknya digalak berdikari mendapatkan pinjaman daripada institusi kewangan.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Wira Dr Mohd Hatta Md Ramli, berkata jumlah geran yang disediakan terhad dan hanya mereka yang layak sahaja berpeluang mendapatkannya. Permohonan pula perlu menjalani proses tapisan yang ketat sebelum diluluskan.

Beliau berkata, pemberian geran sepatutnya memberi motivasi kepada usahawan bersungguh-sungguh memajukan perniagaan, namun kemudahan disediakan sebelum ini tidak dimanfaatkan secara optimum.

“Kementerian mendapati segelintir usahawan yang memperoleh geran mengambil mudah dan tidak mengusahakan perniagaan sebaik mungkin hingga gagal diteruskan.

“Terdapat beberapa syarikat koperasi memperoleh geran bertindak menutup operasi selepas gagal, tanpa berhasrat mendapatkan sumber kewangan daripada institusi kewangan,” katanya pada sidang media program ‘Let’s Go Retail’ melangkah hebat dengan CARiNG Pharmacy, di sini hari ini.

Hadir sama Exco Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar dan Perkampungan Tradisional Selangor, Rodziah Ismail; Pengarah Urusan CARiNG Pharmacy, Chong Yeow Siang serta Ketua Pegawai Operasi TriSuccess Global Sdn Bhd, Mohd Shahrilwan Mohd Sidek.

Mohd Hatta berkata, kerjasama pintar ‘Let’s Go Retail’ CARiNG membantu mengetengahkan usahawan tempatan khususnya kategori kecil dan sederhana dalam mengukuhkan jenama untuk bersaing dengan produk antarabangsa.

“Kementerian dengan kerjasama agensi bertanggungjawab sedia memberi bimbingan dan kursus serta berkongsi strategi pemasaran kepada usahawan sekali gus memberi peluang mempamerkan produk ke luar negara.

“Terbaru, kami membawa usaha menjayakan pameran di Sarajevo, Bosnia, sebelum ke Jepun sempena Sukan Olimpik Tokyo 2020,” katanya.

Sementara itu, Mohd Shahrilwan berkata, kejasama itu memberi peluang peserta industri memasarkan produk di 126 rangkaian farmasi CARiNG seluruh negara.

“Fasa pertama pasaran membabitkan produk berasaskan barangan dandanan diri dan makanan kesihatan tambahan. Proses pemilihan barangan berdasarkan permintaan pelanggan,” katanya.

Yeow Siang pula berkata, kerjasama menerusi program ‘Let’s Go Retail’ bertujuan mengukuhkan jenama untuk pasaran tempatan dan luar negara.

“Usaha ini selari dengan visi membantu usahawan mengembangkan perniagaan, pada masa sama membangunkan industri runcit tempatan. Antara jenama pilihan iaitu Ella, Serai Mas, Ana, Mary Jardin le fleur, Habada, Yooba Belle, Dominance, Kayman Beauty, Qaseh Bonda, Narinar, Turbo Gel dan Dr Mama,” katanya.

Berita Harian X