Selasa, 30 April 2019 | 12:17pm
TIMBALAN Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Pekerja setia kepada negara tak terbabit salah laku

PUTRAJAYA: Pekerja yang setia kepada negara tidak akan terbabit dalam perbuatan salah laku, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dalam perutusan Hari Pekerja disambut esok, Dr Wan Azizah berkata, pekerja adalah teras kemajuan sesebuah negara dan pekerja yang beramanah adalah aspirasi negara.

“Dengan adanya pekerja beramanah, isu penyalahgunaan kuasa, rasuah dan penyelewengan dapat dielakkan,” katanya.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Masyarakat berkata, kerajaan prihatin terhadap keluarga nukleus sekarang yang mana kedua ibu bapa bekerja dan tidak ada saudara-mara tinggal bersama untuk membantu menjaga anak-anak.

Beliau berkata, beberapa inisiatif diusahakan kerajaan untuk memberi ketenangan kepada ibu bapa ketika bekerja termasuk mengadakan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) di hampir setiap kementerian.

Katanya, kerajaan memperuntukkan RM10 juta untuk menambah 50 Taska di bangunan kerajaan ke arah meringankan bebanan ibu bapa bekerja.

“Kerajaan juga dalam usaha memperkenalkan waktu kerja anjal yang memberikan peluang kepada pekerja menentukan waktu kerja mereka dan ini dapat membina jaringan antara majikan serta pekerja untuk meningkatkan keseimbangan kehidupan harian dan kerja.

“Kita juga akan terus berusaha mewujudkan persekitaran pekerjaan mesra pekerja dan menangani isu berbangkit,” katanya.

Dalam penghargaannya kepada pekerja awam dan swasta, Dr Wan Azizah berkata, tanpa mereka, kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak akan dapat mengharungi 12 bulan ujian yang mencabar. – BERNAMA

Berita Harian X