KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, memerintahkan perbicaraan tujuh tuduhan pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram yang dihadapi Datuk Seri Najib Razak diteruskan pagi ini.
Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali membuat keputusan itu selepas menolak permohonan Najib untuk mendapatkan perisytiharan bahawa tujuh tuduhan pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram yang dihadapinya adalah cacat.
Tuduhan berkenaan membabitkan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta yang didakwa diselewengkan Najib.
Sehubungan itu, perbicaraan kes SRC yang masuk hari ke-10 akan diteruskan pagi ini dengan memanggil dan menyambung mendengar keterangan saksi pendakwaan ke-21, Pengurus AmBank Jalan Raja Chulan, R Uma Devi.