Sabtu, 27 April 2019 | 1:20pm
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (kanan) bersalaman bersama peserta basikal ketika hadir program Kayuhan Pengguna Bijak dan I Love Pantai Jerejak di Queensbay Mall, Bayan Lepas, Pulau Pinang. - Foto Mikail Ong

Tambah senarai skim kawalan harga, panjangkan tempoh kuat kuasa

GEORGETOWN: Jenis barang dalam senarai skim kawalan harga akan ditambah manakala tempoh penguatkuasaannya dipanjangkan bermula Ramadan ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata konsep skim kawalan harga baharu itu dikuat kuasa bagi memastikan tidak berlaku manipulasi atau kenaikan harga barang kawalan pada musim perayaan.

“Kita masih belum putuskan berapa panjang tempoh yang sesuai dan senarai harga barangan.

“Bagaimanapun yang pasti ia lebih panjang berbanding sebelum ini, malah senarainya juga mungkin akan bertambah. Apa pun tunggu ia diumum nanti,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (kanan) melepaskan peserta sertai kayuhan santai pada program Kayuhan Pengguna Bijak dan I Love Pantai Jerejak di Queensbay Mall, Bayan Lepas, Pulau Pinang. - Foto Mikail Ong

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Program Kayuhan Pengguna Bijak, di sini, hari ini.

Skim kawalan harga yang dilaksanakan KPDNHEP pada setiap musim perayaan, khususnya Aidilfitri, biasanya dikuat kuasa sekitar 15 hari iaitu sebelum, ketika dan selepas sambutan Aidilfitri.

Sementara itu, Saifuddin berkata, pihaknya sudah mengadakan perbincangan dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi memastikan bekalan cili merah tidak terputus kepada pengguna.

Katanya, larangan kemasukan cili merah Vietnam ke negara ini menyebabkan KPDNHEP bimbang terhadap bekalan sayuran itu, terutamanya menjelang musim perayaan.

“Sebenarnya kita banyak bergantung kepada cili merah Vietnam sebelum ini, namun kita sudah berbincang dengan Kementerian Pertanian dan Asas Tani untuk pastikan bekalan sentiasa mencukupi,” katanya.

Pada September tahun lalu, kerajaan mengumumkan larangan kemasukan cili merah dari Vietnam selepas ia disahkan mengandungi sisa racun terlarang.

Berita Harian X