Jumaat, 26 April 2019 | 11:20pm
PERDANA Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali bertemu Presiden China, Xi Jinping (dua dari kanan) di Beijing. - Foto NSTP

Tun M tinjau operasi AI China

BEIJING: Tun Dr Mahathir Mohamad, hari ini, melakukan kunjungan bagi meninjau operasi syarikat pemula niaga terbesar dunia dalam kecerdasan buatan (AI), SenseTime Group Ltd, sehari selepas melawat Huawei yang juga terletak di Zhongguancun, iaitu hab teknologi Beijing.

Disifatkan sebagai antara kemuncak atur cara program sepanjang lima hari di ibu kota China, Perdana Menteri dibawa menyaksikan teknologi terkini AI dan penggunaannya dalam pengesahan wajah, penyelesaian bandar selamat, jentera tanpa pemandu dan penderiaan jauh.

Projek pembinaan hab AI pertama Malaysia bernilai lebih AS$1 bilion (RM4.13 bilion) sebelum ini diumumkan G3 Global Bhd dan SenseTime yang merancang membinanya dengan kerjasama China Harbour Engineering Company Ltd (CHEC), iaitu anak syarikat kontraktor China Communications Construction Company (CCCC).

Bersandarkan inti pati perjanjian, G3 menjelaskan, pihaknya akan terbabit sebagai pemudah cara, selain menyelaraskan penubuhan taman AI pertama di Malaysia itu, manakala SenseTime bakal menyediakan tenaga pakar industri dan sokongan teknologi, khususnya dalam pengkhususan pengecaman wajah serta objek.

SenseTime turut menyatakan komitmen untuk membantu pembangunan dan penyediaan silibus latihan untuk universiti, kolej dan sekolah. CHEC pula akan berkongsi tenaga pakar dalam kejuruteraan infrastruktur serta pembinaan.

Pengasas SenseTime, Prof Xiao’ou Tang, dalam kenyataan berkata syarikat berkenaan teruja untuk bekerjasama dengan Kerajaan Malaysia, golongan akademik dan peneraju sektor perniagaan menerusi perkongsian pengalaman serta kepakaran teknologi.

Algoritma pengesanan imej dibangunkan SenseTime, sejak empat tahun lalu menyaksikan sistem berkenaan ‘laris’ apabila pelbagai kontrak dimeterai dengan pengeluar telefon pintar utama dan beberapa syarikat telekomunikasi, selain jabatan polis China bagi menganalisis rakaman keselamatan serta membantu usaha penahanan suspek.

Melangkaui kejayaan sekadar pengecaman wajah dalam khalayak ramai, SenseTime meletakkan matlamat jangka panjang supaya teknologinya berupaya menjadi nadi pengesanan pelosok tempat, sama ada di persekitaran pusat beli belah, entiti keselamatan dan perkhidmatan pengenalan diri berdasarkan butiran muka seseorang.

Menempa kejayaan sedemikian, SenseTime yang kini mempunyai rangkaian pejabat di Hong Kong, Beijing, Shenzhen, Shanghai, Chengdu, Hangzhou, Kyoto, Tokyo dan Singapura, bakal menjadi penyedia algoritma AI terbesar China.

Berita Harian X