X
Jumaat, 26 April 2019 | 7:21pm
DR Noor Hisham (kanan) menyampaikan ucapan pada Majlis Persidangan Perubatan Serantau 2019 di Newcastle University Medicine Malaysia di Iskandar Puteri. - Foto Mohd Azren Jamaludin
DR Noor Hisham (kanan) menyampaikan ucapan pada Majlis Persidangan Perubatan Serantau 2019 di Newcastle University Medicine Malaysia di Iskandar Puteri. - Foto Mohd Azren Jamaludin

Bersedia hadapi revolusi kesihatan digital - Dr Noor Hisham

ISKANDAR PUTERI: Industri penjagaan kesihatan terutama pengamal perubatan di negara ini perlu bersedia menghadapi revolusi kesihatan digital.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata langkah itu sejajar dengan peredaran zaman dan arus pemodenan terutama membabitkan teknologi yang semakin canggih.

Katanya, kesihatan digital pada masa kini mampu mengurangkan sebarang kerumitan dalam industri berkenaan termasuk dalam mengakses rekod perubatan pesakit dengan segera.

“Pengamal perubatan di negara ini perlu menerima dengan terbuka revolusi kesihatan digital jika kita tidak mahu ketinggalan.

“Kesihatan digital memudahkan pelbagai prosedur perubatan termasuk pembedahan, malah rekod perubatan pesakit berada di hujung jari, sekali gus memudahkan rujukan segera dibuat pada masa kecemasan.

“Mahu tidak mahu, kesihatan digital akan menjadi masa depan industri kesihatan dunia termasuk di negara kita dan pengamal perubatan yang tidak sedia berubah akan ketinggalan, ” katanya ketika merasmikan Persidangan Perubatan Serantau 2019 di Newcastle University Medicine Malaysia, di sini, hari ini.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata kesihatan digital juga mampu menjadi alat berkuasa untuk merevolusikan penjagaan penyakit tidak berjangkit (NCD) di negara ini.

Katanya, antara langkah yang boleh dilaksanakan adalah memperkasakan pesakit menguruskan penyakit NCD mereka sendiri melalui ciptaan alat peranti khas, aplikasi dan penyelesaian digital mudah diguna secara meluas.

“Kesihatan digital dapat memberi langkah pencegahan awal kepada pesakit NCD di negara kita dalam mengawal risiko penyakit mereka sebelum ia menjadi lebih serius, ” katanya.

Berita Harian X