Jumaat, 26 April 2019 | 3:26pm
AMIRUDIN Shari
AMIRUDIN Shari

Agihan bekalan air cecah 93 peratus

KUALA SELANGOR: Pengagihan bekalan air ke kawasan yang terjejas, lebih cepat dari tempoh yang disasarkan dengan jumlah agihan kembali pulih dan mencecah 93 peratus setakat tengah hari tadi.

Menteri Besar, Amirudin Shari, berkata perkembangan itu adalah berdasarkan rekod Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS), ahli kumpulan Air Selangor.

“Pemulihan dan penyaluran bekalan air sudah mencatatkan 93 peratus dan kita percaya ia akan pulih sepenuhnya sedikit masa lagi, kurang daripada tempoh 86 jam sebagaimana yang disasarkan Air Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Jelajah Maju Bersama Menteri Besar Selangor Daerah Kuala Selangor di Dewan Raja Lumu Pejabat Agama Islam Daerah Kuala Selangor, hari ini.

Amirudin berkata, pengguna tetap mendapat bekalan air bersih walaupun kerja penambahbaikan dibuat.

Beliau merakamkan penghargaan kepada kakitangan Air Selangor yang bertungkus lumus melakukan kerja-kerja penyelenggaraan itu dengan segera.

“Bagi pihak kerajaan negeri, kami memohon maaf kepada pengguna kerana masalah air ini bukan disengajakan. Apa yang dilakukan (kerja penambahbaikan) adalah untuk menjamin bekalan air secara berterusan pada masa akan datang,” katanya

Rabu lalu, bermula kira-kira jam 9 pagi, sebanyak 620,835 akaun atau 4,143,465 pengguna di 577 kawasan sekitar Klang, Shah Alam, Petaling, Gombak, Kuala Lumpur, Kuala Langat dan Kuala Selangor mengalami gangguan bekalan air akibat kerja penyelenggaraan.

Air Selangor pada awalnya menjadualkan gangguan itu berterusan sehingga 86 jam, tetapi ia dapat diselesaikan kurang dari 24 jam.

Terdahulu, Ketua Jabatan Perhubungan Pelanggan dan Komunikasi, Pengurusan Air Selangor, Abdul Raof Ahmad dilaporkan berkata, gangguan bekalan air di semua kawasan di Selangor dan Lembah Klang hampir pulih sepenuhnya seawal 6 pagi tadi.

Katanya, SYABAS memaklumkan kerja penambahbaikan sistem bekalan air di Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 2 (LRA SSP2) juga sudah selesai.

Berdasarkan peratusan status pemulihan setakat pagi tadi, Gombak, Kuala Selangor dan Kuala Langat dilaporkan sudah pulih 100 peratus, manakala status pemulihan bagi kawasan lain seperti Kuala Lumpur, Petaling, Klang dan Shah Alam adalah antara 89 hingga 98 peratus.

Berita Harian X