Selasa, 23 April 2019 | 4:10pm
AB LATIF menunjukkan poster Skim Peduli Kesihatan untuk kumpulan B40 atau PeKa B40 ketika Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2019 di Perkarangan Amanjaya Mall. - Foto Bernama
AB LATIF menunjukkan poster Skim Peduli Kesihatan untuk kumpulan B40 atau PeKa B40 ketika Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2019 di Perkarangan Amanjaya Mall. - Foto Bernama

1,200 golongan B40 sudah mohon PeKa B40

SUNGAI PETANI: Kumpulan berpendapatan 40 peratus terendah (B40) berusia 50 tahun ke atas digesa menjalani saringan kesihatan bagi melayakkan mereka menikmati perkhidmatan kesihatan di bawah Skim Peduli Kesihatan untuk Kumpulan B40 (PeKa B40).

Ketua Pegawai Eksekutif ProtectHealth, Datuk Ab Latif Abu Bakar, berkata setakat ini seramai 1,200 individu sudah menjalani saringan kesihatan PeKA B40 dan 59 daripadanya adalah penduduk di Kedah.

Katanya, sebanyak 47 peratus golongan B40 di negara ini sebenarnya tidak menyedari mereka menghidap penyakit, disebabkan itu mereka digalakkan melakukan saringan kesihatan percuma di lebih 100 klinik terpilih.

“Prosesnya amat mudah dan keputusan ujian kesihatan akan diketahui dalam tempoh lima hari. Jika individu terbabit menghidap penyakit, mereka akan menjalani rawatan segera menerusi manfaat yang disediakan.

“Berdasarkan statistik, penghidap penyakit darah tinggi paling ramai adalah dari Kedah dan kita harap supaya ahli keluarga dapat bantu ibu bapa mereka yang layak memohon skim terbabit,” katanya.

Beliau ditemui ketika melawat gerai pameran sempena Minggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) 2019 di perkarangan Amanjaya Mall di sini, hari ini.

PeKa B40 diuruskan Kementerian Kesihatan melalui ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (PHCorp) iaitu sebuah syarikat 100 peratus milik kerajaan yang bukan berasaskan keuntungan.

Ab Latif berkata, peruntukan permulaan sebanyak RM100 juta yang diterima pihaknya akan diguna bagi menyediakan perkhidmatan saringan kesihatan, bantuan perubatan, insentif melengkapkan rawatan kanser dan insentif tambang pengangkutan.

“Melalui manfaat bantuan alat perubatan, penerima akan menerima bantuan dengan had maksimum RM20,000 (seumur hidup) termaktub kepada kategori tertentu di hospital Kementerian Kesihatan.

“Bagi insentif melengkapkan rawatan kanser, sebanyak RM1,000 dibayar kepada pesakit yang melengkapkan rawatan di hospital kementerian dan bayaran secara berperingkat bergantung kepada tahap rawatan,” katanya.

Selain itu katanya, insentif tambang pengangkutan akan diberikan maksimum RM500 bagi Semenanjung dan RM1,000 bagi Sabah dan Sarawak bagi setiap penyakit.

Semakan kelayakan boleh dibuat menerusi laman sesawang http://pekab40.com.my/ bagi mengetahui perkembangan terkini serta klinik bagi membuat ujian saringan.

Berita Harian X