Selasa, 23 April 2019 | 2:49pm
Dr Takayuki (kanan) ketika sidang media berkenaan perkongsian pembelajaran pembedahan katarak mata di Putrajaya. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
Dr Takayuki (kanan) ketika sidang media berkenaan perkongsian pembelajaran pembedahan katarak mata di Putrajaya. - NSTP/Luqman Hakim Zubir

Malaysia minat aplikasi teknik pakar katarak Jepun

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan berminat mengaplikasikan teknik pembedahan katarak diasaskan pakar mata dari Jepun, Dr Takayuki Akahoshi di pusat rawatan, hospital serta klinik katarak di negara ini.

Dr Takayuki yang pernah merawat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada tahun 2015, kini berada di Malaysia untuk berkongsi kepakaran beliau.

Pengarah Oftalmologi di Mitsui Memorial Hospital di Tokyo itu adalah pakar bedah katarak berwibawa dan terkenal dalam pembangunan teknik ‘phaco prechop’ dan instrumen yang membahagikan nukleus kanta sebelum pengemulsian phaco, yang mana proses pengaluran nukleus tidak lagi diperlukan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata kementerian mengalu-alukan kesudian Dr Takayuki berkongsi kepakaran dan pengalaman dengan pelajar serta doktor di beberapa hospital di negara ini.

Katanya, beliau akan membawa kepada pengetahuan Kabinet mengenai hasrat kementeriannya mengenai kemungkinan doktor di negara ini menggunakan teknik diasaskan Dr Takayuki supaya lebih ramai pesakit katarak dapat dirawat di Malaysia.

“Kita akan berbincang supaya pelajar universiti dan doktor di negara ini dapat mempelajari teknik dan pengalaman daripada Dr Takayuki, jadi ia boleh diaplikasi di negara ini,” katanya pada sidang media bersama Dr Takayuki di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching.

Dr Takayuki melakukan pembedahan katarak ke atas kira-kira 60 pesakit sehari dan sehingga 10,000 orang setahun dengan setiap prosedur cuma mengambil masa secara purata empat minit.

Sempena kehadiran beliau di negara ini, Education Malaysia Global Services (EMGS) dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Kementerian Kesihatan akan mengadakan program khidmat masyarakat di Pusat Perubatan UKM (PPUKM), Kuala Lumpur; Hospital Langkawi, Kedah; dan Hospital Queen Elizabeth, Sabah mulai hari ini hingga 30 April.

Dr Takayuki juga akan menawarkan rawatan menggunakan teknik ciptaannya kepada penduduk tempatan yang terpilih secara percuma.

Sehingga Oktober 2018, Pusat Katarak Negara melakukan 14,807 pembedahan, manakala klinik katarak lain di seluruh negara melaksanakan prosedur kepada 10,699 orang.

Sementara itu, Dr Takayuki berkata, adalah penting bagi pesakit mendapatkan rawatan awal supaya pembedahan katarak lebih mudah dan jika lewat, prosedur akan menjadi lebih rumit.

“Saya mahu berkongsi kepakaran dengan lebih ramai doktor supaya lebih ramai pesakit dapat diberikan rawatan, sekali gus meningkatkan produktiviti sesebuah negara,” katanya.

Berita Harian X