Ahad, 21 April 2019 | 5:21pm

Bandar moden simbol kekuatan Melayu kota

KUALA LUMPUR: Selepas 120 tahun sejak pembukaannya pada 1899, Kampung Baru yang menjadi penempatan terbesar orang Melayu di tengah ibu kota ini, bakal bertukar wajah menjadi ‘Bandar Moden’, lengkap Taman Warisan yang dikelilingi projek perumahan dan komersial.

Cadangan itu adalah sebahagian daripada penyusunan semula dan rombakan terhadap pelan induk asal, berikutan pelbagai masalah yang selama ini mengekang rancangan pembangunan di situ.

Taman Warisan Melayu akan dibina sebagai sokongan kepada projek lain di bawah pentadbiran Malay Agricultural Settlement (MAS), membabitkan kawasan tanah seluas 88 hektar (220 ekar) serta 32 hektar (80 ekar) lagi di luar kawasan MAS.

Kawasan yang dianggap sebagai segi tiga emas ini, menjadi fokus utama pengurusan Perbadanan Kampung Bharu (PKB) yang memberi input kepada kerajaan bagi memastikan kampung tradisional itu dibangunkan secepat mungkin.

Ketua Pegawai Eksekutif PKB, Zulkurnain Hassan, menjelaskan secara dasarnya kerajaan bersetuju supaya pelan asal diperbaharui dan hala tuju pembangunan di situ juga ditukar.

Katanya, antara idea dikemukakan ialah simbol kekuatan serta ciri-ciri melambangkan orang Melayu akan diterapkan dan kawasan itu dijadikan ikon kawasan Melayu.

Pemandangan Kampung Baru. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Imej dikekalkan

“Kita mengenal pasti 11 rumah tradisional yang mempunyai seni bina menarik untuk dibina semula dalam bentuk asal, di samping 136 rumah lagi dalam bentuk butik, ditempatkan di Taman Warisan Melayu.

“Ia dibina di kawasan khas dan imej Melayu Kampung Baru akan dikekalkan. Mesti ada bangunan unik melambangkan identiti Melayu,” katanya.

Selain itu, imej Kampung Baru yang terkenal sebagai ‘syurga makanan’ juga akan dikekalkan, termasuk Pasar Minggu yang menjadi tarikan pengunjung serta pelbagai menu popular dijual di sana.

Namun, kedudukan Pasar Minggu serta deretan kedai makan di situ akan diubah serta dinaik taraf termasuk lengkap dengan kawasan tempat kenderaan khas.

Zulkurnain berkata, kawasan itu juga akan dilengkapi kemudahan kompleks sukan serba lengkap, terletak bersebelahan stesen MRT yang sedang dibina.

“Ketika ini, kita hanya ada kawasan lapang di Kampung Pindah. Kawasan itu akan dibina kemudahan sukan lengkap dengan tempat letak kenderaan yang turut dikongsi bersama pengguna MRT.

“Ini antara kemudahan asas awam yang perlu ada. Memang sudah ada Kelab Sultan Sulaiman (KSS), tetapi ia milik swasta,” katanya yang menegaskan, kewujudan stesen MRT dan LRT di situ, mampu menjadi tarikan pelabur.

Mengulas lanjut, Zulkurnain berkata, pelan akhir pembangunan Kampung Baru membabitkan 1,350 lot tanah itu, akan dibentangkan pada September ini.

Zulkurnain menunjukkan pelan pembangunan baharu Kampung Baru. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Pelan baharu

“Secara dasarnya, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, bersetuju dan perkara ini dimaklumkan dalam pengumuman kementerian.

“Kita kena selesaikan dua perkara penting tahun ini, iaitu memuktamadkan pelan pembangunan dan kena tetapkan bagaimana perolehan tanah boleh diselesaikan.

“Kita kena fikirkan kesan kepada penduduk kerana tidak mahu mereka lenyap. Mesti bagi ruang kepada orang Kampung Baru tinggal semula di sini, tetapi dalam perumahan moden, mungkin apartmen atau kondominium,” katanya.

Sementara menunggu pelan baharu dimuktamadkan, beberapa projek asal sudah dimulakan, termasuk laluan pejalan kaki, iaitu Saloma Link yang menghubungkan Kampung Baru dengan Menara Berkembar KLCC.

Saloma Link

Saloma Link yang bercirikan sirih junjung dijangka menjadi mercu tanda baharu Kuala Lumpur dan memberi pengalaman kepada pengguna merentasi Sungai Klang dan Lebuhraya AKLEH.

Laluan sepanjang 69 meter itu juga mempunyai sambungan terus ke Stesen LRT Kampung Baru dan projek pembinaannya dijangka siap September ini.

Apabila projek dimulakan pada 2018 ini siap, ia akan memendekkan tempoh perjalanan kepada cuma 15 minit untuk ke Kampung Baru, berbanding 40 minit sebelum ini.

Jalan utama Raja Abdullah dan Raja Muda Abdul Aziz juga disediakan laluan pejalan kaki yang dilengkap lampu, manakala laluan pintas pejalan kaki dan penunggang basikal merentasi kawasan Sungai Bunus juga sudah dinaik taraf.

Jalan Raja Muda Musa yang sempit di Kampung Baru. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Isu pusaka, tuntutan harga jadi halangan

Isu pemilikan harta pusaka serta tuntutan harga tidak munasabah oleh pemilik atau waris, yang menjadi punca pelan pembangunan semula Kampung Baru tergendala selama ini, perlu diselesaikan segera.

Secara keseluruhan, kampung tradisional ini mempunyai keluasan 121 hektar, termasuk kawasan segi tiga emas seluas 89 hektar yang diwartakan sebagai kawasan Malay Agricultural Settlement (MAS).

Bakinya, 32 hektar berada di luar MAS, merangkumi tiga perumahan yang dibangunkan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) iaitu Flat 4 Tingkat Jalan Tun Razak, Rumah Teres Sungai Baru dan Flat 17 Tingkat.

Penempatan kecil di tengah bandar raya ini mempunyai 1,350 lot tanah dengan 890 lot berada dalam kawasan MAS, manakala bakinya (460 lot) termasuk kawasan Chow Kit di luar kawasan MAS.

Selesai kes pemilikan

Rekod terkini menunjukkan 890 lot itu didaftarkan di atas 4,800 nama, menyebabkan pihak yang mengurus tadbir pelan, Perbadanan Pembangunan Kampung Bharu (PKB) berdepan kesulitan menyelesaikan kes pemilikan.

Ketua Pegawai Eksekutif PKB, Zulkurnain Hassan, mengakui perkara itu menjadi fokus utama pihaknya untuk melaksanakan pembangunan dan menyelesaikan isu tuntutan nilai tanah.

Katanya, sejak PKB ditubuhkan pada 2012 hingga kini, pihaknya mengesan 740 kes kematian daripada senarai 890 lot dalam kawasan MAS, namun tidak menolak kemungkinan angka sebenarnya lebih tinggi.

“Angka ini tak mencerminkan jumlah sebenar kerana mungkin jumlah kematian lebih daripada itu dan kita belum jumpa lagi.

“Kita akan terus menyemak senarai waris untuk melaksanakan penyerahan kuasa dan membantu mereka dengan kerjasama agensi lain seperti Amanah Raya serta Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG).

“Usaha selesaikan isu ini banyak bergantung kepada waris itu sendiri. Bukan senang nak selesai tanpa kerjasama. Kami cuma boleh teruskan nasihat dan pujuk mereka. Setakat ini, ada beberapa isu yang saling berkaitan,” katanya.

Daripada 740 kes kematian waris itu, 156 kes berjaya diselesaikan membabitkan 57 lot tanah dan 584 kes yang belum selesai pula membabitkan 345 lot.

Berdasarkan rekod pelan induk lama, ada kes satu lot tanah seluas 8,000 kaki persegi (743.22 meter persegi) didaftarkan atas 208 nama pemilik.

Mengulas isu pemilikan beramai-ramai di atas satu lot tanah, katanya, ia berlaku kerana mungkin disebabkan salah tafsir atau disebabkan satu nama disenaraikan beberapa kali dalam satu geran sama.

“Mungkin dia dapat hak itu daripada waris yang berbeza, sebelah bapa dan ibu. Mungkin 1/10 daripada ibu dan 1/20 daripada hak bapa, sebab itulah, daripada 150 nama dalam geran, banyak berlaku kes nama berulang.

“Peraturan membenarkan perkara ini berlaku, cuma masalahnya apabila terlalu ramai waris dan sukar nak dapatkan persetujuan untuk projek pembangunan,” katanya.

Medan selera Kampung Baru yang menempatkan pemindahan peniaga di pasar minggu untuk pembangunan Pangsapuri Legasi. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Galak tubuh jawatankuasa

Mengikut pelan induk 2014, PKB menggalakkan setiap pewaris tanah menubuhkan jawatankuasa bertindak sendiri, termasuk menyelesaikan isu berkaitan dan kini wujud 13 jawatankuasa, termasuk dua di luar MAS.

“Lot tanah itu kecil dan susah untuk pembangunan berintensiti tinggi, jadi kena bergabung dengan jiran, barulah dapat kawasan yang luas.

“DBKL pun senang luluskan projek berskala besar. Barulah boleh bagi keuntungan kepada pemilik. Kalau setakat bangunan empat tingkat, keuntungan sikit untuk diagihkan,” katanya.

Mengulas mengenai tawaran harga tanah oleh pemilik, katanya berdasarkan kajian yang dibuat, lebih 70 peratus daripada mereka meletakkan harga lebih RM1,000 kaki persegi untuk tanah lot mereka.

Sedangkan, katanya, ketika projek Bangunan Zikay setinggi 30 tingkat dijalankan, harga tanah yang dijual kepada pemaju kurang RM400 bagi satu kaki persegi.

Tawaran harga tak selari

“Jangkaan pemilik menjadi faktor isu tawaran harga tidak selari dengan kehendak mereka dan kemampuan kerajaan. Sedangkan pemaju juga ada sekatan tersendiri termasuk tak boleh jual kepada bukan Melayu.

“Sebab itu, Menteri Wilayah adakan dialog dengan penduduk dan membuat rumusan hala tuju asal iaitu pembangunan hanya dibuat dengan persetujuan pemilik tidak akan berjaya. Banyak kekangan dan saiz tanah kecil,” katanya.

Sehubungan itu, pada September 2018, satu jawatankuasa ditubuhkan di peringkat kementerian, membabitkan Jawatankuasa Pemandu; Jawatankuasa Kerja dan Jawatankuasa Teknikal yang mempunyai jawatankuasa kecil.

Katanya, jawatankuasa itu akan mengkaji teliti semua aspek termasuk bagaimana mencari dana untuk perolehan tanah dan paling penting, pembangunan yang dirancang tidak memberi kesan buruk kepada penduduk.

Pemandangan Kampung Baru. - NSTP/Mohd Yusni Ariffin

Info

Sejarah Kampung Baru

• Tahun 1899, dibuka sebagai penempatan Melayu terbesar di Kuala Lumpur

• Tanah kurniaan Sultan Selangor, Sultan Alauddin Sulaiman Syah Raja Muda Musa (Sultan Sulaiman).

• Keluasan asal 89.2 hektar (223 ekar)

• Malay Agricultural Settlement (MAS) ditubuh berdasarkan peruntukan Seksyen 3 (1) The • Malay Agricultural Settlement (Kuala Lumpur) Rules 1950.

• Pentadbiran dan kawalan Kampung Baru di bawah kuasa Lembaga Pentadbir MAS.

• MAS boleh membuat undang-undang kecil sendiri dan bertanggungjawab melulus, menetapkan syarat pelan bangunan serta sambungan rumah.

• 1965 - geran tanah dikeluarkan kepada penduduk

• 2012 Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKB) ditubuhkan

• 2014 Pelan induk PKB diumumkan

Di bawah seliaan MAS

1- Kampung Hujung Pasir

2- Kampung Periuk

3- Kampung Masjid

4- Kampung Paya

5- Kampung Kariah A

6- Kampung Kariah B

7- Kampung Pindah

Kampung luar MAS

1- Kampung Padang

2- Kampung Sungai Baru (PKNS)

3- Flat 17 Tingkat (PKNS)

Berita Harian X