Khamis, 18 April 2019 | 4:23pm
TIMBALAN Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik merasmikan Tourism Malaysia Travel Mart@Negeri Sembilan 2019 di Port Dickson, hari ini. - Foto Hasriyasyah Sabudin
TIMBALAN Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik merasmikan Tourism Malaysia Travel Mart@Negeri Sembilan 2019 di Port Dickson, hari ini. - Foto Hasriyasyah Sabudin

Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya tangani agensi pelancongan haram

PORT DICKSON: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dalam usaha menangani isu agensi pelancongan haram yang menyediakan pakej pelancongan pada harga tidak masuk akal dan menjejaskan syarikat berdaftar dalam industri berkenaan.

Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik, berkata ini kerana orang ramai lebih tertarik untuk membeli pakej pelancongan pada harga yang murah, sekali gus menyebabkan pendapatan syarikat berdaftar terganggu walaupun beroperasi secara sah.

“Kementerian memahami masalah ini dan akan berusaha mengatasinya kerana industri pelancongan amat penting bagi pertumbuhan pendapatan negara,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Tourism Malaysia Travel Mart@Negeri Sembilan 2019 di sini, hari ini.

Mengenai Tourism Malaysia Travel Mart@Negeri Sembilan, Muhammad Bakhtiar berkata, program itu bertujuan mengumpul pengusaha produk pelancongan dan hotel seluruh negeri ini di bawah satu bumbung bagi mendapatkan pilihan pakej pelancongan domestik menarik.

Katanya, ia juga secara tidak langsung dapat menyelesaikan masalah agensi pelancongan tidak berdaftar yang semakin banyak beroperasi di negara ini.

“Program seperti ini dapat mengukuhkan hubungan kerjasama selain jaringan perniagaan antara penggiat industri pelancongan yang menyertainya.

“Kerjasama wakil industri pelancongan amatlah diperlukan terutama dalam menghasilkan pakej pelancongan yang menarik serta kreatif, secara tidak langsung merancakkan lagi sambutan Tahun Melawat Malaysia 2020.

“Malah program ini dapat memberi galakan kepada pertumbuhan sektor pelancongan domestik, sekali gus menjana pendapatan daripada industri pelancongan negara,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, kementerian ketika ini sedang memperkasakan pemasaran digital bagi memberikan maklumat dengan cara lebih mudah, terutama kepada pelancong.

“Malaysia tidak harus ketinggalan dari segi teknologi bagi menarik lebih ramai pelancong luar datang ke negara kita,” katanya.

Berita Harian X