Isnin, 15 April 2019 | 8:30pm
MENTERI Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. - Foto Hafiz Sohaimi
MENTERI Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. - Foto Hafiz Sohaimi

Berita gembira untuk rakyat Terengganu - Ahmad Samsuri

KUALA TERENGGANU: Keputusan meneruskan Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) adalah berita gembira buat rakyat Terengganu, kata Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Menerusi laman sosial Facebook rasmi beliau, Ahmad Samsuri berkata pengumuman Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai perkara itu bukan sahaja disambut baik, malah beliau yakin ​​​​​​ia mampu merancakkan pertumbuhan ekonomi dan memberi impak positif kepada sosial penduduk.

Katanya, dengan perkembangan itu juga, bandar utama dan sekitar akan tumbuh pesat seterusnya dapat meyakinkan pelabur dengan penyediaan pembangunan infrastruktur yang lengkap.

“Saya percaya jika komitmen begini diteruskan, rakyat akan mendapat manfaat daripada projek pembangunan yang dirancang,” katanya.

Projek ECRL yang mencetuskan perbalahan mengenai kos pembinaannya sebelum ini, akan disambung semula pada kos lebih rendah susulan pemeteraian perjanjian tambahan (SA) antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) dan China Communications Construction Company Ltd (CCCC). - BERNAMA

Berita Harian X