Isnin, 15 April 2019 | 1:50pm
Saiful Azhar (depan, dua dari kiri) bersama Ketua Pegawai Operasi Institut Jantung Negara (IJN), Akmal Arief Mohamed Fauzi (depan kiri) bergambar bersama peserta Seminar Pengurusan Kelesuan dan Ketiduran, di Kuala Lumpur, hari ini. - NSTP/Nur Adibah Ahmad Izam

Kes penyakit dan keracunan pekerjaan meningkat

KUALA LUMPUR: Sebanyak 7,258 kes membabitkan penyakit dan keracunan pekerjaan terhadap pekerja dilaporkan sepanjang tahun 2018 berbanding 6,020 kes pada tahun sebelumnya.

Timbalan Ketua Pengarah (Kesihatan Pekerjaan) Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Saiful Azhar Mohd Said, berkata daripada jumlah laporan diterima sepanjang tahun 2018, sebanyak 6,372 kes adalah penyakit kehilangan pendengaran akibat bunyi bising (NIHL).

Selain itu, katanya 258 kes lagi adalah penyakit berkaitan otot dan tulang manakala 242 kes lagi adalah berkaitan penyakit kulit.

“Walaupun ada peningkatan sebanyak 1,238 kes dilaporkan berbanding tahun 2017 namun kadar laporan penyakit pekerjaan yang diterima masih lagi di tahap rendah dalam kalangan majikan mahu pun pengamal perubatan.

“Hal ini boleh dilihat menerusi data daripada Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) yang menunjukkan kes kematian yang disebabkan kemalangan pekerjaan dan penyakit pekerjaan adalah satu nisbah enam,” katanya pada Seminar Pengurusan Kelesuan dan Ketiduran, di sini, hari ini.

Justeru, Saiful Azhar berkata, persekitaran kerja yang sihat adalah amat penting dan perlu dititikberatkan oleh syarikat dan organisasi bagi mengurangkan kadar kemalangan dan penyakit pekerjaan.

“Antara lain adalah isu kelesuan dan tidur yang tidak cukup di kalangan pekerja juga adalah sesuatu yang perlu dipandang serius kerana ia mampu menyumbang kepada kemalangan dan boleh menyebabkan kecederaan termasuklah kematian.

“Keadaan lesu boleh menyebabkan seseorang pekerja hilang tumpuan untuk menjalankan tugas akibat kehilangan pertimbangan sekali gus mengundang bahana seperti kemalangan,” katanya.

Beliau berkata, walaupun tiada laporan yang diterima pihaknya berhubung kemalangan akibat kelesuan atau pun tidur yang tidak cukup namun JKKP percaya kebanyakan kejadian membabitkan kemalangan jalan raya yang terjadi kepada pekerja adalah disebabkan masalah itu.

“Selain itu, kerja lebih masa yang biasa dihadapi golongan bidang perubatan juga antara punca peningkatan kes kemalangan sama ada di tempat kerja mahu pun dalam perjalanan pulang ke rumah,” katanya.

Berita Harian X