Sabtu, 13 April 2019 | 2:39pm
DEKAN Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM), Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman. - Foto Ihsan Faculty of Medicine

Belum bersedia punca doktor pelatih ambil masa lebih panjang

KUALA LUMPUR: Graduan perubatan yang gagal menamatkan latihan atau ‘housemanship’ atau mengambil masa yang lebih lama untuk menamatkan latihan itu, kebanyakannya tidak menyiapkan diri untuk menghadapi realiti pekerjaan yang sukar sebagai pengamal perubatan.

Dekan Fakulti Perubatan Universiti Malaya (UM), Prof Datuk Dr Adeeba Kamarulzaman, berkata housemanship selama dua tahun adalah sukar, justeru pelajar perubatan perlu menyesuaikan diri dengan peralihan daripada sekolah perubatan kepada alam pekerjaan di wad hospital.

Katanya, malangnya sejumlah besar pelajar perubatan tidak dapat menghadapi perubahan ini.

“Oleh sebab itu pemilihan pelajar perubatan adalah aspek penting yang harus diberi penekanan. Pelajar perubatan harus mempunyai sikap yang betul. Itu yang kami lakukan di UM, pupuk daya ketahanan pada diri pelajar.

“Mereka tidak sepatutnya mengambil bidang perubatan kerana paksaan ibu bapa atau mereka fikir ini adalah pekerjaan yang glamor dan boleh dapat banyak wang,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri persidangan MEDXUM di UM di sini hari ini.

Persidangan perubatan tahunan itu dirasmikan oleh Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Ketika persidangan Dewan Rakyat pada Khamis lalu, Dr Dzulkefly dilaporkan berkata 70 peratus pelajar perubatan menamatkan perkhidmatan housemanship dalam tempoh dua tahun manakala selebihnya mengambil masa lebih lama sehingga menyebabkan tunggakan dalam bilangan latihan yang boleh disediakan kepada siswazah perubatan.

Sementara itu, ketika berucap Dzulkefly berkata housemanship adalah permulaan dalam perjalanan pelajar perubatan dan harus digunakan sebaik mungkin untuk memahami sepenuhnya ilmu dalam bidang itu.

“Hormati guru anda dan mereka akan memberi sepenuh komitmen untuk melatih anda menjadi doktor yang lebih baik,” katanya. - BERNAMA

Berita Harian X