Selasa, 9 April 2019 | 6:19pm
TUN Dr Mahathir Mohamad

Pindaan Perkara 2 tidak ubah fungsi kerajaan Negeri, Persekutuan

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, pindaan Perkara 2, Fasal 1 Perlembagaan Persekutuan tidak mengubah fungsi Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan.

Perdana Menteri berkata, dalam masa sama, pindaan itu tidak akan sama sekali mengubah usaha rundingan antara Kerajaan Persekutuan dengan Kerajaan Sabah dan Sarawak yang giat dijalankan ketika ini melalui jawatankuasa khas Kabinet bagi menyemak Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Katanya, pindaan itu juga bagi memenuhi kehendak rakyat Sabah dan Sarawak, selain langkah menunaikan janji Pakatan Harapan (PH) yang berjanji mengembalikan status Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam MA63.

“Pindaan itu bagi membolehkan frasa Singapura dikeluarkan susulan republik itu bertindak keluar daripada Tanah Melayu pada 1965 .

“Frasa ‘negeri-negeri Borneo’ juga dikeluarkan memandangkan ia digantikan dengan frasa negeri Sabah dan Sarawak seperti pindaan Perlembagaan Persekutuan 1976.

“Pindaan ini adalah langkah pertama mengembalikan semula Sabah dan Sarawak sebagai rakan sekutu Kerajaan Persekutuan sebagaimana termaktub dalam sebahagian perjanjian MA63 yang kini sedang disiapkan,” katanya ketika membentangkan untuk bacaan kali kedua Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2019 bagi Perkara 1(2) untuk mengembalikan kedudukan Sabah dan Sarawak sama rata dengan Semenanjung.

Dr Mahathir berkata, pindaan itu juga selaras dengan ucapannya pada sambutan Hari Malaysia pada 16 September 2018 bahawa ketika pembentukan Malaysia pada 16 September 1963 melalui Perjanjian Malaysia 1963, keempat-empat wilayah ini bergabung sebagai rakan seangkatan.

Katanya, ini bermakna keempat-empat negeri (Semenanjung Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura)” berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah.”

Bagaimanapun, katanya Singapura keluar Malaysia pada 1965.

Perdana Menteri berkata, tahun-tahun selepas itu, status rakan sekutu bagi Sabah dan Sarawak ditukarkan kepada negeri dalam Malaysia.

Katanya, pindaan yang dicadangkan ini tidak akan menjejaskan rundingan MA63, malah akan diteruskan hingga kata sepakat berupaya dicapai.

Mengenai cadangan lain yang dikemukakan Sabah dan Sarawak berhubung tafsiran Persekutuan, Perdana Menteri berkata, peruntukan ungkapan frasa Persekutuan itu merujuk kepada Persekutuan Tanah Melayu yang ditandatangani ketika penubuhan Persekutuan Tanah Melayu 1957.

Berita Harian X