Selasa, 9 April 2019 | 5:01pm
MUHAMMAD Fahmi Rusli

'Jangan terlalu kaitkan perkara mistik dengan Acap'

KUALA TERENGGANU: Kehilangan peserta Gopeng Ultra Trail, Mohammad Asyraf Hassan, atau Acap tidak wajar untuk terus dikaitkan dengan unsur mistik seperti diculik bunian.

Pegawai Hal Ehwal Agama Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, Muhammad Fahmi Rusli, berkata untuk mensabitkan sesuatu perkara ghaib itu perlu menggunakan dalil berlandaskan al-Quran dan sunnah.

“Mengikut konteks perkembangan itu (kehilangan Acap), ia boleh jadi disebabkan perkara ghaib, cuma tidak boleh dinyatakan secara pasti sama ada betul atau tidak untuk dikaitkan.

“Kita tidak boleh menolaknya untuk mempercayai dan beriman kepada perkara ghaib, cuma mendakwa sesuatu tanpa ilmu dan kepastian daripada al-Quran dan sunnah tidak boleh diterima secara total kerana boleh jadi kehilangan itu disebabkan faktor dan isu lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menjadi ahli panel Forum Penyakit Cegahan Vaksin di sini, hari ini.

Muhammad Fahmi berkata, umat Islam tidak boleh sekadar mendengar khabar angin kerana dibimbangi boleh menyebabkan masyarakat dibelenggu konflik lebih besar hingga takut kepada sesuatu perkara.

Katanya, mempercayai kewujudan makhluk halus di tempat dan rupa paras tertentu juga memerlukan proses kepastian yang sahih.

Justeru, beliau berharap umat Islam merujuk kepada golongan agamawan bagi mendapat penjelasan.

“Bukan semua agamawan boleh melihat dan mengetahui perkara ghaib di depan mata, malah umat Islam juga tidak dituntut melihat perkara ghaib sehinggakan Allah tidak memperlihatkannya kepada manusia.

“Cuma kita perlu percaya dan beriman bahawa selain manusia, ada makhluk lain iaitu malaikat, jin dan syaitan,” katanya.

Berita Harian X