Selasa, 9 April 2019 | 4:21pm
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (kiri) bersama Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong selepas mengadakan perbincangan di bawah rangka kerja Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura Kesembilan di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad (kiri) bersama Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong selepas mengadakan perbincangan di bawah rangka kerja Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura Kesembilan di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. - NSTP/Mohd Fadli Hamzah

Kerajaan boleh tangani penyebaran berita palsu - Dr Mahathir

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad percaya kerajaan boleh menangani penyebaran berita palsu biarpun selepas pemansuhan Akta Antiberita Tidak Benar 2018.

Walaupun mengakui media sosial boleh disalahgunakan secara serius, Perdana Menteri berkata, kerajaan akan menghapuskan akta itu seperti yang dijanjikan kepada rakyat.

“Bagi kita, kita perlu belajar cara mengendalikan berita palsu itu. Apabila kita mempunyai undang-undang yang menghalang orang daripada menyiarkan pandangan mereka, kita takut kerajaan sendiri boleh menyalahgunakannya seperti yang terjadi pada kerajaan lalu.

“Kami tidak mahu mana-mana kerajaan, yang ini atau yang seterusnya menggunakan undang-undang untuk membuat berita palsu bagi mengekalkan diri sendiri.

“Tetapi sudah tentulah (berita palsu) sukar untuk ditangani tetapi kita percaya kita dapat menangani cabaran dan mengendalinya,” katanya pada sidang media bersama Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong sempena Pemukiman ke-9 Pemimpin Malaysia-Singapura, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kritikan Reporters Without Borders (RSF) berhubung langkah kerajaan Singapura yang membentangkan akta berita palsu sementara Malaysia bergerak ke arah yang bertentangan dengan memansuhkan Akta Antiberita Tidak Benar 2018.

Pada September 2018, Dewan Negara menolak Rang Undang-Undang Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2018 yang diluluskan oleh Dewan Rakyat pada Ogos tahun lalu.

Sementara itu Hsien Loong berkata, berita palsu adalah masalah serius yang membimbangkan negara dan Singapura bukan satu-satunya negara yang membuat undang-undang sedemikian.

Beliau berkata, Perancis, Jerman dan Australia sudah mengambil langkah serupa dan lebih zalim.

“Akta Perlindungan dan Manipulasi Berita Tidak Benar (POFMA) Singapura akan menjadi langkah penting dan berkesan kerajaan Singapura dan ini akan diteruskan,” katanya.

Berita Harian X