Sabtu, 6 April 2019 | 8:28pm
MUHYIDDIN (tengah) di majlis Pelancaran BERSATU Sabah di International Technology and Commercial Centre (ITCC), Penampang. - Foto Edmund Samunting.

Kita sudah tinggalkan perjuangan lampau - Muhyiddin

PENAMPANG: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin sekali lagi menegaskan penubuhan parti itu bukan menggantikan UMNO atau dipanggil UMNO 2.0 seperti tanggapan pihak tertentu terhadap parti berusia dua tahun itu.

Beliau berkata, walaupun ramai bekas ahli UMNO menyertai BERSATU, namun ia sebuah parti baharu dengan misi perjuangan baharu yang berbeza dengan UMNO yang ditinggalkan mereka sebelum ini.

“BERSATU bukan UMNO 2.0, kita sudah tinggalkan perjuangan lampau. Ia satu pilihan yang amat baik menubuhkan BERSATU,” katanya berucap pada Majlis Pelancaran BERSATU Sabah oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, di sini, hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, BERSATU adalah sebuah parti didokong rakyat pribumi Bumiputera di seluruh negara termasuk Kadazandusun, Bajau, Iban, Murut dan kaum pribumi lain.

Beliau berkata, parti itu bersifat inklusif yang harus didokong semua kaum termasuk di Sabah dan Sarawak, justeru ia menjadi parti yang penting dalam Pakatan Harapan (PH) walaupun baru berusia dua tahun.

Sementara itu, Muhyiddin berkata, tujuan BERSATU ke Sabah bagi mengukuhkan lagi kepemimpinan kerajaan di negeri ini tanpa mengira siapa yang memimpin, sama ada Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal atau orang lain.

“Dengan penubuhan BERSATU di Sabah, kedudukan politik di negeri ini lebih stabil dan kukuh. Saya ingin menyatakan dengan pelancaran BERSATU hari ini, semua pendokong dapat menjadi ahli dan menghayati dasar serta semangat perjuangan yang menjadi asas perjuangan kita.

“Asalnya BERSATU adalah untuk menegakkan kebenaran dan menentang kemungkaran, menentang rasuah, salah guna kuasa dan perbuatan dilakukan Barisan Nasional (BN) dulu untuk menentukan Malaysia berintegriti, bermaruah serta dihormati,” katanya.

Muhyiddin berkata, matlamat diperjuangkan BERSATU mudah dicapai dengan sokongan Sabah kerana ia negeri penting dan mampu menyumbang kepada usaha membangunkan Malaysia pada masa depan.

Katanya, langkah ke Sabah juga selaras perlembagaan BERSATU yang menggariskan antara perjuangannya untuk mempertahankan perkara asas dalam Perlembagaan Malaysia, kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputera serta anak Bumiputera di Sabah dan Sarawak tanpa menjejaskan hak kaum lain.

Dalam hal berkaitan, katanya, sebagai parti dalam PH, BERSATU komited mewujudkan kerjasama dengan rakan PH lain dan Parti Warisan Sabah (WARISAN) sejajar prinsip politik perlu saling mengukuhkan kerjasama dengan semua parti.

Berita Harian X