Sabtu, 6 April 2019 | 7:59pm
DR. MAHATHIR bersama Muhyiddin (dua dari kiri) dan Timbalannya Datuk Seri Mukhriz Mahathir (dua dari kanan) menunjukkan jumlah keahlian BERSATU di International Technology and Commercial Centre (ITCC), Penampang. - Foto Edmund Samunting.

Pemimpin WARISAN dalam Kabinet Persekutuan kekal

PENAMPANG: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata kedudukan pemimpin daripada Parti Warisan Sabah (WARISAN) dalam Kabinet Persekutuan, kekal.

Perdana Menteri berkata, walaupun WARISAN bukan dalam Pakatan Harapan (PH) tetapi kerajaan memberi kedudukan istimewa kepada parti itu.

“Ya, kedudukan dalam Kabinet Persekutuan akan kekal... ada tiga ahli (menteri) daripada WARISAN dalam Kabinet dan juga sebagai timbalan menteri. Kita juga bekerjasama rapat dengan WARISAN dan tiada masalah.

“BERSATU datang ke Sabah juga bukan untuk ambil alih kerajaan yang sedia ada, sebaliknya kita membantu agar ada kerajaan yang kukuh dan kuat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melancarkan BERSATU Sabah di Pusat Komersial dan Teknologi Antarabangsa (ITCC) di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Timbalan Presiden, Datuk Mukhriz Mahathir.

Tiga pemimpin daripada WARISAN yang menjadi menteri penuh dalam Kabinet Persekutuan iaitu Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Darell Leiking; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong.

Mengenai ketidakhadiran pemimpin daripada WARISAN pada majlis itu, Dr Mahathir berkata beliau ada bertemu dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal di balai ketibaan Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

“Saya ada bertemu dengan Ketua Menteri dan bercerita dengannya berkaitan isu tertentu... kita boleh bekerjasama, tiada masalah,” katanya.

Mengenai sama ada BERSATU Sabah akan beroperasi seperti UMNO yang mana mereka perlu berunding dengan pemimpin Persekutuan sebelum membuat keputusan, Dr Mahathir berkata ketika mengetuai UMNO, Sabah tidak mematuhi arahan beliau.

Mengenai pelancaran BERSATU Sabah, beliau melahirkan rasa gembira dan tidak menyangka dengan sambutan luar biasa pada pelancaran BERSATU di Sabah.

“Difahamkan lebih 30,000 yang hadir hari ini... lazimnya, pelancaran tidak begitu ramai yang hadir tetapi hari ini ramai.

“Ini menunjukkan orang Sabah minat untuk menyertai BERSATU,” katanya sambil menambah lebih 120,000 ahli BERSATU di Sabah.

Berita Harian X