Jumaat, 5 April 2019 | 6:02pm
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada sidang media di Putrajaya, hari ini. - Foto Mohd Fadli Hazmah
PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada sidang media di Putrajaya, hari ini. - Foto Mohd Fadli Hazmah

Lynas boleh terus beroperasi dengan syarat bersihkan bahan mentah

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Lynas boleh terus beroperasi di Malaysia, dengan syarat bahan mentah yang dibawa ke negara ini dibersih dan dihapuskan radioaktif terlebih dahulu.

Perdana Menteri berkata, pada masa sama, Malaysia akan membuka perniagaan perlombongan nadir bumi ke syarikat lain dan mereka hanya dibenarkan beroperasi jika mereka mematuhi syarat-syarat kerajaan.

“Kami (Kabinet) bersetuju membuka perniagaan yang sama kepada syarikat lain.

“Ada syarikat lain yang sanggup membeli dan mengambil alih Lynas, ” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Kabinet di sini, hari ini.

Sebelum ini, timbul percanggahan pendapat antara menteri berhubung isu Lynas.

Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof dan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin mempunyai pandangan berbeza isu berkenaan begitu juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh yang sejak 2008 membantah operasi kilang Lynas di Gebeng Kuantan.

Perdana Menteri menjelaskan keputusan membenarkan Lynas terus beroperasi adalah keputusan Kabinet selepas dibincangkan secara bersama.

“Keputusan ini dibuat semasa mesyuarat Kabinet hari ini, selepas beberapa ahli kemukakan pendapat yang berbeza berhubung syarikat Lynas ini,” katanya.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir menjelaskan syarikat lain yang ingin melabur dalam perniagaan berkaitan perlu menyatakan komitmen atau berjanji menghantar bahan mentah nadir bumi yang sudah dibersihkan dan selamat kepada umum.

“Mereka kena berjanji kepada kita bahawa pada masa akan datang, sebelum menghantar bahan mentah ke Malaysia, mereka perlu membersihkannya terlebih dahulu dan membuang apa saja radioaktif yang ada.

“Kita tidak mahu menerima bahan mentah yang masuk ke sini adalah bahan yang memberi kesan atau bukan sampah yang tidak berbahaya kepada sesiapa sahaja,” katanya.

Dr Mahathir berkata syarat itu tidak terhad kepada Lynas, tetapi kepada semua syarikat yang setuju menceburi perniagaan itu.

Lynas yang berpangkalan di Australia mempunyai kilang pemprosesan di Gebeng, Pahang, tetapi menghadapi masalah mendapatkan pembaharuan lesen untuk loji itu kerana kebimbangan mengenai pengurusan sisa.

Mohd Redzuan sebelum ini dilaporkan berkata, operasi Lynas di Gebeng, Kuantan, akan diteruskan kerana pelaburan syarikat memproses nadir bumi itu terlalu besar untuk diabaikan kerajaan.

Bagaimanapun, Fuziah yang lantang menentang Lynas sejak projek itu diperkenalkan pada 2008, membidas pandangan Mohd Redzuan dan menyifatkan Menteri Pembangunan Usahawan itu tiada locus standi untuk berbicara soal Lynas, sebaliknya ia tanggungjawab Bee Yin.

Bee Yin pada Disember lalu dilaporkan berkata, Lynas perlu menghormati perjanjian syarikat itu untuk membawa keluar sisa buangan dari negara ini, berdasarkan komitmen dinyatakan menerusi surat aku janji bertarikh 23 Februari 2012 dan 6 Mac 2012.

Berita Harian X