Jumaat, 5 April 2019 | 5:28pm

Punca kematian paus, lumba-lumba diketahui

ALOR SETAR: Punca kematian ikan paus dan lumba-lumba di dua kuala dekat sini diketahui hasil bedah siasat ke atas bangkai kedua-dua ikan berkenaan.

Pegawai Penyelidik, Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang, Mohd Tarmimi Ali Ahmad, berkata kematian ikan paus yang ditemui terdampar di Kuala Sala, di sini, kelmarin, dipercayai akibat kemasukan lumpur dalam paru-parunya, selepas haiwan itu terpisah dari ibunya.

“Kita menerima maklumat ada sekumpulan penyelam menemui tiga ekor ikan paus di kawasan Pulau Payar, Langkawi, pada 9 Mac lalu dan berkemungkinan salah seekor adalah ikan yang ditemui mati.

“Anak paus yang baru lahir ini dipercayai terdampar di kawasan berlumpur dan berkemungkinan ketika mengambil udara, lumpur termasuk sekali ke dalam badannya hingga memenuhi bahagian paru-paru hingga mengakibatkan kematian,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan bedah siasat terhadap haiwan berkenaan di lokasi ikan paus berkenaan terdampar, di sini.

Mengenai punca kematian ikan lumba-lumba, Mohd Tarmimi berkata, pihaknya mendapati usus haiwan betina berkenaan dipenuhi tulang.

“Ia mungkin mengalami sakit perut yang berpanjangan disebabkan bahagian perutnya tidak dapat menghadam makanan yang terlekat hingga menyebabkannya lapar berpanjangan.

“Berdasarkan keadaan kedua-dua bangkai ikan ini, ia mati sejak lima hari lalu. Kita akan tanam dan akan datang semula untuk ambil rangka kedua-duanya untuk diawet bagi tujuan dipamerkan untuk tatapan umum,” katanya.

Beliau berkata, kebiasaannya pihaknya akan menunggu antara empat hingga lapan bulan untuk proses pereputan rangka dan akan datang semula untuk mengumpul semua tulang sehingga lengkap.

BH Online semalam melaporkan, bangkai seekor ikan lumba-lumba ditemui terdampar di tepi pantai dekat Kuala Tebengau, di sini, kira-kira tujuh kilometer dari lokasi penemuan bangkai ikan paus di Kuala Sala, sebelum ini.

PEGAWAI Penyelidik, Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang, Mohd Tarmimi Ali Ahmad (kanan) melihat bangkai ikan paus yang terdampar di Kuala Sala. - Foto Shahrizal Md Noor
Berita Harian X