Khamis, 4 April 2019 | 11:16am
MENTERI Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor
MENTERI Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. - Foto Ahmad Irham Mohd Noor

Seksyen 88A tidak dimasukkan semula dalam Akta 164

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang memasukkan semula Seksyen 88A berkaitan status penukaran agama anak dalam Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) (Akta 164).

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata keputusan itu selaras pandangan Jabatan Peguam Negara bahawa Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan agama individu umur bawah 18 tahun boleh ditentukan secara unilateral oleh ibu, bapa atau penjaga.

“Pada 2017, pindaan Akta 164 diluluskan oleh Parlimen untuk menangani beberapa isu merangkumi pembubaran perkahwinan, nafkah, hak jagaan anak dan harta sepencarian dalam kes anutan agama Islam seorang daripada pasangan.

“Seksyen 88A peruntukan melarang penukaran agama anak tanpa persetujuan bersama ibu bapa digugurkan daripada Rang Undang-Undang (RUU) Akta Membaharui Undang-Undang (Perkahwinan dan Perceraian) Pindaan 2016 kerana bercanggah dengan peruntukan Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan.

“Justeru, kerajaan tidak bercadang memasukkan semula seksyen 88A dalam pindaan Akta 164,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Azalina Othman Said (BN-Pengerang) yang meminta menteri menyatakan bentuk kajian sedang dilakukan kerajaan dalam usaha meminda Fasal 88A Akta 164.

Berhubung keputusan Mahkamah Tinggi dan Persekutuan tahun lalu, Muhyiddin berkata, kementeriannya maklum mengenai pembatalan penukaran agama secara unilateral untuk lima individu di bawah umur 18 tahun.

“Susulan keputusan itu, cadangan memasukkan Seksyen 88A diteliti semula bersama dengan Jabatan Peguam Negara.

“Hasilnya menyimpulkan mahkamah sebagai badan kehakiman mempunyai kebebasan untuk mentafsir sesuatu peruntukan perundangan dan keputusan Mahkamah Persekutuan akan mengikat keputusan mahkamah bawahan,” katanya.

Berita Harian X